Saya tidak mahu menyentuh terlalu banyak tentang kisah sebiji telur yang mendapat banyak like di Instagram. Walaupun kisah tersebut mendapat liputan luar biasa di media-media luar negara terutamanya dalam rancangan-rancangan Talk Show seluruh Amerika.

Mungkin apa yang saya ingin katakan, gambar sebiji telur juga mampu menggabungkan sesuatu di media sosial jika orang mempercayai kepada sesuatu usaha untuk bersatu. Dan seluruh pelusuk dunia bersatu untuk menjadikan telur tersebut gambar yang mendapat paling banyak like di Instagram, hampir 45 juta likes ketika artikel ini ditulis!

(Baca Juga: Kalahkan Kylie Jenner, Gambar Sebiji Telur Dapat Likes Tertinggi Di Instagram)

Minggu ini juga satu cabaran baru muncul di media sosial. Dengan hashtag #10yearchallenge ramai yang berkongsi gambar masing-masing melalui perbezaan fizikal sepuluh tahun dahulu dengan sekarang. Bukan hanya selebriti tempatan, tetapi selebriti-selebriti antarabangsa turut melakukan cabaran yang sama.



Hashtag #10yearchallenge di Instagram sahaja mempunyai lebih 1.3 juta gambar. Belum lagi dikira yang berkongsi di Twitter, Facebook, mahupun lain-lain medium media sosial. Selebriti-selebriti tempatan juga turut serta.

(Baca juga: #10yearchallenge: Selebriti Kongsi Foto 2009, Berbeza Sungguh!)

Ramai juga di antara kita yang membuat cabaran yang sama. Saya rasa sangat bagus! Kalau kita pandang daripada sudut yang positif, kita tahu perubahan sepuluh tahun bukan hanya terletak pada bentuk fizikal, tetapi juga cara kita berfikir dan melihat kehidupan kita sekarang ini.



Cabaran yang saya anggap satu refleksi pada diri sendiri. Sama ada kita berubah ke arah yang lebih baik, atau sebaliknya. Adakah kita sudah mencapai matlamat hidup kita atau masih di takuk lama. Masihkah kita melakukan kesilapan yang sama atau sudah belajar dan mengubah cara kita.

Semua itu secara sengaja atau tidak memberikan sesuatu makna, dan bukan sekadar melihat perubahan fizikal antara sepuluh tahun dahulu dan sekarang. Dulu mungkin solo, sekarang mungkin sudah berkahwin. Dulu mungkin berdua tetapi sekarang sudah mempunyai keluarga. Wah, pastinya banyak perubahan yang ketara dalam tempoh sepuluh tahun dahulu.



Kalau anda sendiri belum membuat cabaran #10yearchallenge mungkin anda patut cuba. Jangan anggap ianya perbandingan fizikal mahupun perbandingan dengan orang lain. Jadikannya sebagai refleksi kepada diri anda untuk melihat perubahan tersebut sebagai titik permulaan, sama ada untuk terus di jalan yang sama atau mungkin melakukan perubahan seterusnya.

Sejak awal tahun, kisah tempat makan yang kini diwartakan sebagai tempat larangan merokok juga menjadi perbincangan yang hangat. Sejak seminggu dua ini pula kedengaran pula rungutan daripada pihak pengusaha kedai makan terutamanya restoran dan kedai-kedai kecil bahawa perniagaan mereka agak merundum.



Tidak ada lagi perokok yang melepak di kedai-kedai mereka. Malah, bisnes yang diharapkan daripada keluarga dan bukan perokok juga tidak banyak membantu kerana mereka didakwa lebih gemar makan di rumah.

Beberapa perkongsian juga menyatakan kebimbangan pihak restoran dengan perkembangan terbaru ini. Malah saya juga melihat sendiri beberapa kedai makan yang selalu saya singgah tidak lagi semeriah dahulu, terutamanya kedai makan yang menjadi tempat melepak dan berborak bersama rakan-rakan.

Saya setuju dengan akta baharu yang dilaksanakan. Saya tidak ada masalah walaupun saya merupakan perokok tegar. Tetapi sesuatu perlu dilakukan untuk membantu para peniaga ini yang kebanyakannya warga Malaysia. Maaf, saya tidak ada jawapan untuk ini, cuma sekadar memberi pandangan agar sesuatu dapat dilakukan demi mereka menyara hidup keluarga.

Oh, tidak perlu memberitahu saya bahawa merokok membahayakan kesihatan. Saya tahu dan sedia maklum. Tetapi ramai perokok tegar di luar sana. Apa yang boleh saya katakan, mungkin kita boleh gunakan perkara ini untuk melihat daripada perspektif orang lain juga dan bukan hanya diri sendiri.

Mungkin ianya satu signal untuk saya secara peribadi. Melihat kehidupan sepuluh tahun dahulu melalui cabaran #10yearchallenge dan kehidupan saya sekarang ini. Mungkin ianya satu ‘blessing in disguise’. Mungkin tiba masanya untuk saya berhenti merokok.

Jumpa Lagi

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram