Filem
Bila Badrul Bicara: Filem Pusaka Bawa Anda Ke Dunia Asing, Tetapi Anda Tahu Itu Dunia Anda. Seram Dia Lain Macam!
Bila bercakap tentang filem seram ni, saya selalunya menolak dengan cara baik bila diajak kawan-kawan untuk menonton. Tapi apabila semua orang yang dah menonton pada malam premier, yang menonton dengan 'superfans' dan semua mereka bercakap tentang filem Pusaka, rasa curiga serta ingin tahu melebihi rasa 'tidak selesa'.
Jadi malam tadi sempena hari pembukaan tayangan, saya bersama empat orang kawan lagi memilih untuk menonton Pusaka. Daripada cerita-cerita orang yang dah menonton buatkan saya sedikit gementar, tapi saya kuatkan semangat juga. Apatah lagi dalam kami berlima, ada lagi teman yang lebih 'penakut' daripada saya. kalau dia berani, saya pun kena berani jugalah.
Macam mana saya nak cakap tanpa bagi spoiler tentang filem Pusaka ni? Ayat paling mudah yang saya boleh katakan adalah, ini adalah filem paling seram yang saya pernah tonton. Ya, seram! Tengok cerita Hollywood pun saya tak pernah rasa seseram menonton Pusaka.
Lakonan seniwati Fauziah Datuk Haji Ahmad Daud memang tak boleh disangkal. Memang tak boleh! Dia bukan kak Ogy dalam filem Pusaka. Anda akan faham apa yang saya maksudkan bila anda sendiri menonton filem Pusaka ini. Wow Kak Ogy! Another level of respect daripada saya buat Kak Ogy. Jadi kalau dia suruh artis-artis baru gali selepas ini, korang galilah. Dengarlah cakap dia. Sebab Kak Ogy tahu apa yang dia cakapkan.
Syafiq Kyle dalam filem ini memang lain daripada lakonannya dalam filem seram sebelumnya. Dalam Pusaka, Syafiq berikan lakonan yang luar biasa dan kelainan yang hebat. Nyata saya percaya dengan watak Inspektor yang dibawanya.
Selain daripada beberapa nama senior seperti Kak Ogy, Faizal Hussein dan Aleza Shadan (yang saya rasa ini filem pertama beliau - betulkan kalau saya salah), lainnya adalah muka-muka yang agak baru di layar perak seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana dan Hafidz Roshdi. Sweet Qismina pula sudah mula berlakon sejak kecil lagi.
Namun lakonan mereka memang superb! Masing-masing bawa watak dengan jayanya. Selepas iklan dan tayangan promo filem-filem lain, dan sebaik sahaja Pusaka bermula boleh dikatakan saya agak menggeletar daripada awal hingga akhir. Mata terpaku pada layar, tapi pada masa yang sama saya tidak bersedia dengan apa yang berlaku seterusnya dan seterusnya dan seterusnya.
Saya bukanlah pakar dalam membuat ulasan tentang filem, tetapi sebagai penonton saya tahu filem itu bagus atau tidak. Filem pusaka mencecah hampir lima bintang untuk saya. Filem Melayu paling seram tahun ini. In fact, filem paling seram tahun ini kalau dicampurkan dengan filem-filem Inggeris sekalipun, why not!
Tahniah buat pengarah Razaisyam Rashid yang menggarap filem Pusaka ini dengan begitu baik sekali. Razaisyam seolah-olah membawa anda ke dalam satu dunia lain yang asing, tetapi pada masa yang sama anda tahu itu dunia anda. Anda tidak dapat lari daripada berada di dalam dunia tersebut. Anda tonton dan anda akan faham apa yang saya maksudkan ini.
Menonton filem Pusaka, anda tidak ada masa nak 'cover line'. Menjerit, terkejut, tutup mata, tutup telinga. tutup mata yang jenis terkedip-kedip nampak sikit, tutup telinga jenis yang takut tapi pada masa yang sama taknak terlepas apa yang terjadi dan dibualkan. Jalan ceritanya kemas. Okay, tak mahu cerita lagi takut terkongsi spoiler! Pergilah tengok sendiri!
Nak tahu bagaimana satu-satu filem itu bagus? Bila anda keluar panggung, anda begitu excited untuk bincangkan apa yang berlaku dalam filem yang ditayangkan dan bercerita bahagian-bahagian yang anda suka.
Tetapi untuk filem Pusaka ini, kami tahu filem ini bagus kerana kami berlima hanya berdiam diri sebaik pulang daripada menonton dengan mulut terkumat kamit membaca ayat-ayat yang kami tahu, dan kereta yang dipandu teman memasang lampu tinggi hampir sepanjang jalan pulang, dan teman yang memandu menumpang tidur di rumah orang terakhir yang dihantarnya.
Sekarang ni paling tak suka bila ada orang datang tepuk belakang sambil cakap 'dia dah datang'! Haishhhh!
Salam Jumaat dan jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Astro Shaw
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Must-Watch Video