Itulah yang saya rasa ketika mula-mula hendak menonton filem Sangkar. Rasa skeptikal itu datang kerana saya bukanlah peminat filem-filem fighting ini. Seperti mana saya tidak meminati filem The Rocky, Million Dollar Baby, Creed, Cinderella Man dan yang sama dengannya.

Kenapa? Entah, sukar untuk dijawap secara penuh. Bak kata pepatah Inggeris, "It's not my cup of tea." Ya, saya tetap menonton filem-filem tersebut tetapi tidaklah di pawagam. Mungkin saya hanya akan tonton bila ditayangkan di Astro Movie Channel.



Tapi ini filem Malaysia. Tambahan pula buat pertama kalinya ia adalah gabungan empat syarikat produksi. Lebih membuatkan saya jadi sedikit teruja, kesemua empat orang excutive producers adalah wanita. Jadi saya sedikit curious.

Sebelum memasuki panggung, saya sempat memberitahu salah seorang daripada produser, Puan Shahila yang saya tidak begitu meminati filem sebegini. Namun dia meminta saya menonton dengan hati yang terbuka.

"You will not regret this, and I can assure you that you are going to love it!" itu kata-katanya sebelum meminta saya masuk ke dalam panggung.



Barisan pelakonnya pula bukan calang-calang. Zul Ariffin, Remy Ishak, Mira Filzah, Fadlan Hazim, Ray Era, Nik Adam Mika dan ramai lagi. Walaupun masih ada sedikit skeptikal, tapi ianya mula bercampur dengan sedikit perasaan ingin tahu.



Okay, biarlah saya beritahu perkara sebenar di sini walaupun nanti akan ada yang marah-marah terutamanya para peminat. Saya bukanlah fan kepada lakonan Zul Ariffin sebelum-sebelum ini. Saya meminati lakonan Remy Ishak tetapi filem-filemnya selalu 'gagal' dalam erti kata box office. Saya juga suka dengan Mira Filzah tetapi ini filem pertamanya. Ray Era bukan pelakon filem, and as much as I love him as an Era announcer, saya skeptikal. Dan filem ini pula adalah filem fighting. Bukan gabungan yang saya ingin tonton.

Okay, saya dah luahkan apa yang ada di dalam dada saya. Tak kisahlah nak hentam pun. Janji saya bercakap benar dengan apa yang saya rasa.

Minit pertama saya menonton Sangkar, saya dapat rasakan kelainan dengan cerita ini. Kalau menonton cerita yang saya kurang minat, selalunya saya akan ambil peluang untuk keluar ke tandas, mencari popcorn atau pun sekadar keluar untuk menjawab panggilan telefon atau membalas WhatsApp.



Tapi tidak dengan filem Sangkar ini. Daripada minit pertama sehinggalah terakhir, mata saya terpaku pada skrin besar. Setiap detik di dalam cerita ini ada makna. Setiap pergaduhan, setiap tumbukan, setiap hempasan, semuanya ada cerita.

Lakonan Zul Ariffin dan Remy Ishak cukup mantap. Yes, I'm a fan of Zul Ariffin now! Mereka bukan Zul dan Remy yang saya kenal melalui lakonan mereka sebelum ini. Ya Tuhan, bagusnya lakonan mereka berdua dalam filem Sangkar ini. Setiap tutur kata bersahaja, setiap mimik muka, setiap gerak tangan, mata, badan, semuanya bermakna. Tidak ada waktu yang tersia begitu sahaja.



Filem Sangkar ini punya pelbagai rasa yang sukar nak saya luahkan dengan perkataan, tapi saya akan cuba. Sangkar ada kesemuanya. Lebih daripada pertarungan, Sangkar ada rasa kasih sayang, penyesalan, persahabatan, kelakar, sinis, sedih, marah, bebanan dan tanggungjawab.

Bagaimana penulis skrip dapat meletakkan semua rasa dalam satu filem membuatkan saya rasa sangat kagum. Bagaimana Kabir Bhatia yang selalunya terkenal dengan arahan filem cinta mampu memberikan shot yang hebat dan indah dan pantas. Bagaimana para pelakon dapat menjiwai watak yang mempunyai pelbagai rasa.



Benar, saya kagum dengan filem Sangkar. Malah saya percaya jika anda menontonnya juga, anda akan rasa apa yang saya rasa. Anda akan menangis tapi anda tidak memerlukan tisu kerana tangisan anda di dalam dada. Anda akan ketawa bukan kerana lawak, tetapi ketawa kerana itulah yang terjadi dalam kehidupan.

Anda akan marah, benci, bengang, tapi yang pasti anda tak akan melupai setiap babak dalam filem Sangkar ini. Anda akan bawa pulang segala rasa dalam filem ini bersama anda. Mungkin anda juga boleh kaitkan antara babak dalam cerita ini dengan diri anda sendiri. Kerana saya boleh!



Seperti biasa, akan ada orang yang mengatakan ini adalah sekadar promosi kerana saya bekerja di Astro. Lantaklah, itu pandangan segelintir. Cuma apa yang saya boleh kongsikan adalah ruangan istimewa saya ini membolehkan saya menulis apa sahaja selagi tidak melanggar undang-undang. Bicara saya tidak mencerminkan bicara syarikat mahupun Gempak. Ini adalah cerita saya, pandangan saya, bicara saya.

Salam Jumaat, selamat menyambut hari kebangsaan, selamat menonton filem Sangkar dan jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Google

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.