Bila Badrul Bicara: Kenapa Filem Bagus Tapi Tiada Sambutan? Jangan Sampai Marahkan Nyamuk, Kelambu Dibakar.
Agak kecoh ketika ini di media sosial dengan penarikan filem Suatu Ketika daripada tayangan hanya selepas beberapa hari ditayangkan. Khabar terbaru katanya Sabtu ini (esok) adalah hari yang terakhir bakal berada di pawagam.
Ramai yang menyalahkan pihak pawagam yang pada mereka hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Ada juga yang meyalahkan pihak pihak produksi dan syarikat-syarikat penerbit gergasi. Ada yang menyalahkan penonton yang tidak mahu memberi peluang pergi menonton. Ada yang menunding jari kepada FINAS, badan yang didakwa sepatutnya bertanggungjawab memastikan filem-filem tempatan didahulukan.
Sebelum saya menulis lebih panjang, saya harap mana-mana pihak dapat membaca dengan tenang kerana ini adalah sekadar pendapat peribadi saya, bukan lain-lain pihak.
Saya pernah dengar ayat seorang pelakon senior yang sedikit marah apabila bayaran agak kecil untuk dirinya melakonkan watak dalam sebuah filem. “Kalau dah tahu tak cukup duit, tak payah buat filem lah. Buat tele saja cukup.”
Rungutan sebegini kerap juga saya dengar apabila mana-mana produksi ingin mengambil pelakon, bukan sahaja untuk filem tetapi untuk telefilem, mahupun drama rantaian. Rungutan tentang bayaran sudah jadi perkara biasa.
Tidak ada orang yang bekerja yang mahukan bayaran kurang daripada apa yang ‘dirasakan’ setimpal dengan kerja mereka. Begitu juga sebaliknya. Ayat mudah, tidak ada orang yang mahu rugi. Semua mahu untung atau sekurang-kurangnya berbaloi dengan apa yang dilakukan.
Ketika saya mula menguruskan pelakon, sedikit demi sedikit saya mula sedar dengan keadaan di dalam industri kita. Saya menonton banyak filem-filem yang bagus tetapi tidak mendapat sambutan daripada penonton. Dan filem-filem ini bukan sahaja keluar daripada produksi-produksi kecil tetapi juga yang dianggap besar.
Masalah utama yang saya lihat adalah daripada promosi. Ya, promosi untuk filem itu sendiri. Segelintir produksi tidak melihat betapa pentingnya promosi untuk satu-satu filem tersebut. Dan apabila ianya gagal, kesalahan mula diletakkan di bahu orang lain.
Segelintir penerbit ini meletakkan promosi ini di bahu para pelakon. Merekalah yang sibuk mempromosikan filem tersebut di media sosial masing-masing. Buat filem, tapi tidak ada follow up daripada pihak produksi. Maka bertungkus lumuslah para pelakon mempromosikan filem tersebut kerana itu adalah kisah yang mereka lakonkan, itu adalah punca rezeki mereka.
Bila ada syarikat besar yang mempunyai team promosi dan pemasaran (marketing and promotion) yang bagus, mereka tidak mahu gunakan. Alasannya, syarikat ini mahu lebih keuntungan daripada syarikat yang menerbitkan filem tersebut.
Kerana dengan promosi dan pemasaran yang baik, bukan sahaja keuntungan yang saya perolehi, tetapi juga lebih ramai penonton yang akan dapat menonton filem yang saya hasilkan. Lebih ramai yang dapat mengenal lakonan mantap pelakon-pelakon yang saya pilih untuk filem saya, serta mengetahui kehebatan jalan ceritanya filem yang saya hasilkan. Bukankah itu tujuan utamanya? Atau sekadar hanya ingin berkarya tanpa mengira hasilnya?
Entahlah, ini pandangan peribadi saya. Kita mengalah pada satu perkara, dan kita menang satu perkara. Lainlah kalau kita memang punya budget yang tinggi untuk promosi dan kita mampu melakukannya sendiri. Kita ambil syarikat yang bagus dan berikan mereka budget yang sewajarnya untuk melakukan promosi.
Untuk penggiat-penggiat seni, tidak kiralah pihak produksi, penerbit, pelakon-pelakon, kru dan sebagainya, anda sendiri tahu betapa banyaknya filem-filem tempatan yang cukup bagus di pasaran. Namun, untuk menarik penonton ke pawagam, kita perlukan promosi yang kuat kerana filem kita bukan sahaja bertanding sesama sendiri, tetapi juga dengan filem-filem daripada luar.
Mungkin ada yang tidak bersetuju, tetapi inilah pandangan saya. Kita perlukan promosi yang bagus kerana tanpa promosi, orang tidak akan tahu.
Saya hanya mampu menggunakan emoticon ketawa sambil menitiskan air mata!
Salam Jumaat dan jumpa lagi.
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Google
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.