Sebelum saya teruskan, biar saya explain kenapa saya guna gambar PU Abu sebagai gambar utama. Sebab isunya tengah viral, itu saja. Bak kata Que Haidar dalam satu posting, "common sense"!

Memang lucu dan saya ketawa bila membaca satu twit yang ditulis oleh @rkaru. Soalannya simple tetapi bila difikirkan balik, ada juga betulnya. Itu yang saya gunakan sebagai tajuk minggu ini.

"Masuk rancangan realiti Pencetus Ummah dapat pakai gelaran PU? Kenapa budak-budak Dewi Remaja tu tak dapat Dr?" tulis beliau di Twitter.

Soalannya mungkin berbunyi kelakar tetapi banyak kebenaran di sebalik soalan itu. Apa keistimewaannya apabila memasuki rancangan realiti berbentuk agama seperti Pencetus Ummah, Da'i dan sebagainya yang menjadikannya layak untuk meletakkan PU atau Da'i di depan nama?

PU atau Da'i itu macam pangkat Haji ke? Atau dalam dunia biasa, seperti anugerah Datuk dan sebagainya?

Dulu ketika terlibat dengan rancangan realiti hiburan pertama di Malaysia, Akademi Fantasia, selepas mereka keluar menjadi bintang adalah yang menggunakan AF di belakang nama.

Sebab utamanya kerana mereka artis-artis baru, jadi untuk mereka membezakan diri dengan artis yang sudah lama maka sengaja diletakkan ringkasan AF itu di belakang nama seperti Vince AF, Khai AF (sekadar menyebut beberapa nama). Itu AF musim pertama.

Tetapi tidak lama pun. Kemudian mereka menukar nama kepada nama sendiri tanpa ada AF yang disatukan. Itu yang pertama. Yang musim-musim terakhir pun sudah menukar kepada nama sendiri. Hael Husaini, Syamel (juga sekadar menyebut beberapa nama).

Saya bandingkan bukan kerana pengisiannya tetapi rancangannya. Dua-dua adalah rancangan realiti, dan kedua-duanya mencari bakat dan ilmu di bidang masing-masing.

Matlamat berbeza tetapi cara pencariannya sama. Pencetus Ummah mencari bakat orang yang mampu menyampaikan dakwah, dan Akademi Fantasia mencari pelapis artis yang mampu memberikan hiburan.

Tetapi, ya ada tetapinya. Tetapi bukan bermaksud mereka yang terbaik dan terbagus. Keluar daripada rancangan realiti, mereka masih lagi perlu menuntut ilmu di bidang masing-masing untuk berjaya mencapai matlamat rancangan realiti itu sendiri.

Jadi kenapa perlu ada PU di pangkal nama? Adakah PU itu memberikan 'lesen' untuk memberikan ajaran, teguran dan sebagainya? Bukankah itu tugas kita semua?

Yang saya pelik, segelintir mereka yang menggunakan pangkal nama PU dan Dai ini seolah-olah 'mengajar' netizen bahawa kalau ada yang tidak kena, kita boleh tegur cara kasar, biadap dan sebagainya.

Kenapa tidak ambil contoh Imam Muda Asyraf atau Ustaz Ebit Lew (sekadar menyebut beberapa nama)? Adakah pendekatan mereka salah? adakah cara mereka menyampaikan dakwah tidak betul? Adakah menulis sesuka hati, menegur tanpa memikirkan aib keluarga orang lain adalah cara dakwah terbaru?

Saya miskin ilmu agama, dan dalam usia sebegini masih lagi belajar dan belajar. Tetapi saya anggap kita sebagai manusia diberi fikiran yang membezakan kita dengan lainnya.

Bila ada Sunnah tentang adab-adab menegur, kita perlu ambil kira perbezaannya. Apabila kita dibenarkan menegur secara kasar jika perlu, pada ketika dulu, menegur secara kasar adalah berdepan-depan. Tidak ada media sosial. Tegurlah cara kasar bersemuka.

Tetapi di zaman sekarang, kita menegur secara kasar di sosial media. Kita hamburkan kata-kata sewenang-wenangnya tanpa memikirkan aib keluarga dan sanak saudara mereka yang yang kita tegur itu. Untuk manusia yang punya akal, kita sendiri tahu itu bukan caranya.

Tutuplah aib orang sebagaimana Allah SWT menutup aib kita, kerana sekali Allah SWT buka aib kita, entahlah... mungkin tiada tempat untuk kita menyorokkan diri kita ini.

Wassalam dan salam Jumaat.

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.