Hari Khamis (semalam) saya ada janji temu dengan seorang pelakon ini. Sebenarnya sudah dirancang sejak dua minggu lalu, namun berubah beberapa kali hinggalah Khamis.

Semua dibuat dengan sebaik mungkin, hubungi pihak pengurusan, beritahu tentang tujuan, malah hingga kepada jenis-jenis soalan yang ingin ditanya juga saya sudah bayangkan kepadanya.

Mungkin agak tidak profesional di pihak saya untuk bercerita tentang hal ini, tapi perkara sebegini sebenarnya kerap dihadapi dengan segelintir selebriti sehingga saya rasa perlu untuk diperjelaskan.

Semua orang ada masalah. Setiap masa dan setiap ketika. ‘Lupa’ juga satu masalah walaupun kadang kala ianya masalah yang sengaja dicipta.

‘Masalah’ segelintir artis dan selebriti kita ini adalah apabila mereka merasakan mereka sudah cukup terkenal. Apabila ambil cerita daripada media sosial, katanya malas buat kerja. Tapi apabila buat janji temu, ada macam-macam alasan pula.

Kenapa saya terkilan sangat? Kerana sejam lebih menunggu di tempat yang dijanjikan dan setelah beberapa kali menghubungi pihak pengurusan dan telefon peribadi, alasan yang diberikan adalah terlupa.

Bagaimana boleh terlupa jika sehari sebelum dan pada sebelah paginya saya sudah hubungi pihak pengurusan untuk mengingatkan?

“Jangan call pagi, sebab dia selalu bangun lambat. Call kita nanti kita remind dia,” itu pesanan pihak pengurusan yang saya hormat dan ikut.

Sudahnya, bayang pun entah kemana dan bila menghubungi saya, memberi alasan terlupa dengan janji temu.

Paling win, bila dia kata, “saya tak perlukan publisiti pun sebenarnya tapi pihak pengurusan yang nak saya buat”.

Ya, betul anda tak perlukan publisiti sekarang tapi lima enam tahun dulu bukankah anda menagih disetiap akhbar, majalah dan portal? Jangan terlalu sombong bila berkata-kata. Kita semua hanya bekerja dan cuba melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Kenapa saya letakkan gambar-gambar selebriti di atas? Kerana mereka yang ada nama ini tidak pernah sombong, malah jauh sekali untuk berkata mereka tidak memerlukan publisiti (walaupun ditahap mereka berada sekarang, mereka tidak begitu memerlukan sebenarnya).

Mereka adalah selebriti yang punya nama besar dalam industri tapi tidak meninggi diri dan saya letakkan gambar mereka kerana secara peribadi saya pernah menemu bual mereka. Ramai lagi, cuma saya pilih yang terlintas di kepala.

Masing-masing ada kerjaya, tugasan dan juga perniagaan yang perlu diuruskan. Bukan senang untuk mendapatkan janji temu dengan mereka, tetapi apabila sudah ‘lock’ tarikh dan masa, mereka langsung tidak menghampakan.

Bukan niat untuk mengaibkan, tetapi sekadar mengingatkan bahawa saya datang bukan untuk berbual kosong atau mahu bergambar, tetapi ada tugasan yang perlu saya jalankan. Mungkin ini juga boleh jadi peringatan kepada lain-lain selebriti di luar sana, sama ada yang baru mahu menapak atau sedang dalam perjalanan ke peringkat yang lebih tinggi.

Semua daripada kita bermula dari bawah dan kita saling perlu memerlukan. Saya anggap ini adalah satu cabaran buat saya. Saya tidak marah, tetapi saya tentunya rasa terkilan kerana seorang yang saya hormat dengan bakatnya, kini rasa hormat itu hilang kerana sikap tidak profesional diri anda.

Salam Jumaat penghulu hari dan jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Instagram

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.