Kecoh seminggu ini dengan kenyataan-kenyataan yang keluar daripada 'orang besar' Perbadanan Kejauan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Bermula dengan kenyataan daripada Ahmad Idham Ahmad Nadzri, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS yang mahu pihak kerajaan menapis kandungan Netflix yang menimbulkan kemarahan ramai.

Dakwa Idham, dia mengambil kira kemarahan dan kebimbangan ibu bapa. Saya tak mahu menyentuh panjang tentang hal ini kerana sejak zaman Astro wujud lagi sudah ada penapisan sendiri yang boleh dilakukan oleh ibu bapa.

Terlalu mudah untuk dilakukan sendiri oleh ibu bapa yang mungkin sibuk bekerja. 'Child lock' dengan kata laluan yang hanya diketahui oleh ibu bapa. Malah Astro berulang-ulang kali menyiarkan cara-cara untuk mengunci mana-mana saluran yang dianggap ibu bapa tidak bersesuaian dengan anak-anak mereka.

Perkara yang sama juga dengan Netflix. Tapi yang saya rasa sangat kelakar adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Aflix, Mohd Fadzil Hashim.

"Anda tak sayang anak jika tidak mahu Netflix ditapis," kata beliau kepada wartawan.

Anda ni betul ke? Kenyataan ini dibuat berdasarkan apa? Bagaimana anda tahu tentang kasih sayang seorang ibu dan ayah kerana tidak mahu Netflix ditapis? Tolonglah beri sedikit kredit tentang IQ rakyat Malaysia!

Setiap syarikat seperti Astro atau Netflix ini ada garis panduannya sendiri. Mereka menyediakan platform untuk ibu bapa mengawal sendiri apa yang boleh dan tidak boleh ditonton oleh anak-anak mereka. Malah, setiap cerita yang disiarkan juga disertakan dengan rating tontonan. Sungguh tidak bijak pandangan anda kerana memandang rendah dengan keupayaan ibu bapa menjaga kebajikan anak-anak.

Saya rasa terlalu ramai orang di media sosial telah mengajar Idham dan Fadzil bagaimana untuk menapis sendiri kandungan supaya mereka juga akan lebih menyayangi anak-anak mereka. Mungkin mereka tidak tahu bagaimana caranya sebelum ini. Tapi sekarang, mereka lebih daripada tahu!

Belum jernih kekeruhan tentang penapisan, Pengerusi FINAS, Dato' Hans Isaac pula mengeluarkan kenyataan mulai Januari 2020, semua stesen penyiaran tidak akan membenarkan pelakon muda disolek memegang watak orang tua dalam drama dan telefilem terbitan mereka. Datuk Hans Isaac berkata, syarat baharu itu dikenakan bagi menjaga hak dan kebajikan artis veteran.

Dalam hal ini saya berada di tengah-tengah. Antara bersetuju dengan tidak bersetuju. Saya bersetuju kerana tujuannya untuk memastikan artis-artis veteran akan terus ada kesinambungan kerja. Ramai artis veteran yang mungkin hilang daripada pandangan syarikat-syarikat produksi, walaupun mereka masih aktif berlakon.

Tetapi saya tidak bersetuju kerana berapa kerat sangat drama tempatan yang membuat cerita ala biografi daripada awal kehidupan hingga ke usia tua? Berapa banyak? Boleh dikira dengan jari. Okay, munkin pilihan perkataan 'tidak bersetuju' itu kurang tepat kerana saya yakin ada jalan lain yang boleh diambil oleh FINAS untuk memastikan kesinambungan pelakon-pelakon veteran.

Saya lebih yakin kalau FINAS membuat perjanjian dengan stesen penyiaran untuk menyediakan jam-jam khusus (seratus atau dua ratus - maaf saya tak pandai hal ini) untuk pelakon-pelakon veteran menjadi tunggak utama.

Kita masih ada ramai pelakon-pelakon yang sudah lama berada di dalam industri dan masih mampu menarik minat penonton-penonton.

Wan Hanafi Su, Faizal Hussein dan Hasnul Rahmat antara pelakon yang mampu menarik minat penonton.

Kalau pelakon lelaki, kita masih ada Hasnol, Wan Hanafi Su, Rosyam Nor, Faizal Hussein (sekadar menyebut beberapa nama) yang mampu menggalas tugas sebagai pelakon utama. Begitu juga dengan Fatimah Abu Bakar, Fauziah Dato' Haji Ahmad Daud, Fauziah Nawi (juga sekadar menyebut beberapa nama) yang tidak kalah kalau menerajui watak utama.

Fatimah Abu Bakar, Fauziah Ahmad Daud dan Fauziah Nawi antara pelakon yang disegani kerana kehebatan lakonan mereka

Kalau syarikat produksi rungsingkan tak cukup orang nak tengok, ambillah pelakon-pelakon yang ada pengikut berjuta di sosial media sebagai pelakon sampingan (macam tak biasa!) untuk bersama-sama di dalam drama tersebut.

Fokuskan skrip kepada kepada pelakon-pelakon veteran, dan bukan sekadar menjadi watak tambahan sebagai ayah, emak, makcik, pakcik, nenek dan atuk. Jadikan mereka sebagai fokus utama dalam drama. Lakonan mereka sahaja sudah mampu untuk menarik minat orang menonton tanpa perlu jumlah followers. Inilah yang antara perkara yang mungkin pihak FINAS ambil sebagai cadangan dan pertimbangkan.

Seperti mana saya dan ramai yang menonton filem Pusaka. Lakonan Syafiq Kyle sangat bagus, lakonan Sweet Qismina memang berkesan, begitu juga lakonan Mimi Lana dan Hafidz Roshdi, lakonan Faizal Hussein jangan cakaplah, tetapi lakonan Ogy Ahmad Daud, semua orang ingat apabila keluar panggung wayang! Tak percaya, pergi tengok!

Salam Jumaat dan jumpa lagi.

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Google dan Instagram

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.