Bukan perkara mudah untuk menjaga satu perkahwinan. Apatah lagi bila sudah masuk tempoh mempunyai anak-anak dan pelbagai tanggungjawab bersama. Lebih memeritkan, apabila jodoh tidak ada dan perkahwinan terlerai di tengah jalan.

Perkahwinan itu lahir atas dasar cinta. Anak-anak juga lahir atas hasil perkahwinan tersebut. Lebih penting, mereka darah daging. Tetapi setiap kali gagalnya perkahwinan, kalau tidak diuruskan dengan baik, anak-anak menjadi mangsa keadaan. Jangan hanya ingat ibu atau ayah sahaja, tetapi anak-anak yang selalu dikatakan tak mengerti apa-apa lebih terkesan.

Bermula dengan kes penangkapannya yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar, Jason Lo, bekas Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat telco yang didakwa menceroboh rumah bekas isterinya minggu lalu, kisah peribadi keluarga ini mula terpampang satu persatu dan didedahkan oleh media massa.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui siapa Jason Lo, bekas CEO syarikat telco ini yang digembar gemburkan sehingga mendapat tempat di muka hadapan akhbar berbahasa Inggeris tempatan ini?

Di Malaysia, Jason Lo bermula sebagai seorang penyanyi, pencipta lagu dan penerbit. Dia menerbitkan album pertamanya pada tahun 1999 yang bertajuk Days Without Dawn. Lagu-lagunya seperti Evening News, So Julie dan beberapa lagi menjadi siulan semua ketika itu.

Malah kehebatan Jason ketika itu tidak hanya di Malaysia tetapi dia menjadi penyanyi Asia Tenggara yang pertama yang berjaya meletakkan namanya dalam tiga lagu teratas Carta Pepsi 20 Antarabangsa (Pepsi Top 20 International Chart).

Banyak lagi kejayaan yang ditempahnya di peringkat antarabangsa dengan lagu-lagu ciptaannya, serta dua album berikutnya iaitu Firefighter yang diterbitkan pada 2002 dan The Fall pada 2005. Sekadar sedikit latar belakang untuk memberikan gambaran bahawa dia bukanlah sekadar bekas CEO syarikat telco.

Berbalik kepada cerita yang mula keluar sejak minggu lalu, kisah keluarga Jason Lo mula menjadi perhatian semua. Rentetan daripada kes yang dikatakan menceroboh rumah bekas isterinya, satu persatu kisah rumah tangganya di keluarkan.

Lebih memanaskan keadaan, kisah beliau yang didakwa mencabul anak-anaknya mula diperbincangkan. Laporan yang dikatakan eksklusif oleh akhbar berbahasa Inggeris mula mengeluarkan pelbagai kisah sejak penceraian bersama isterinya.

Memetik laporan di akhbar The Star, mereka mendapat tahu bekas isterinya telah membuat sekurang-kurangnya 15 laporan polis sejak tahun 2015, selepas perceraian mereka, dan turut mendakwa dia mencabul dan melakukan perkara yang tidak senonoh terhadap anak-anak mereka.

Pendedahan yang memeranjatkan semua kerana tidak pernah ada orang tahu tentang laporan tersebut sehingga kini. Saya pasti ramai yang membaca dan mula membuat telahan dan ‘hukuman’ sendiri dengan pendedahan yang dibuat oleh akhbar tersebut.

Pagi semalam di akaun peribadi Facebooknya, Jason Lo buat pertama kalinya membuat kenyataan panjang lebar tentang pendedahan yang dikatakan eksklusif oleh akhbar berkenaan. Namun dia turut menyelitkan pesanan buat anak-anaknya.

“Saya berfikir panjang dan dalam tentang hal ini. Kepada anak-anak saya, saya bimbang perkara ini akan menjadi satu perkara yang paling dikesalkan dalam hidup buat selama-lamanya - untuk sampai ke tahap sebegini, di mana saya terpaksa menjawab kepada kegilaan umum memberikan pendapat masing-masing. Percayalah saya mencuba yang terbaik dengan segala kekuatan yang saya ada, dan seperti kamu juga, saya juga penat dengan kemarahan dan kebodohan yang berlaku, tapi inilah masanya; dan untuk keselamatan kamu, saya akan cuba sebaiknya untuk menamatkan perkara ini dan buat apa yang betul.

“Maafkan saya, tapi saya tidak mahu kamu membaca apa-apa di bawah, hingga kamu berumur 18 tahun. Itu pilihan kamu tapi itu yang saya harapkan dan saya berharap kamu meletakkan kepercayaan kepada saya okay? Untuk teman-teman kamu juga. Sayang, Daddy”

Jason kemudiannya memberikan pendedahan satu persatu melalui apa yang laluinya sendiri dalam kenyatan yang turut dipanggil ’15 ACTS’ itu. Menurut Jason, dia tidak pernah sesekali memberitahu umum tetang penceraiannya, namun apa yang berlaku minggu lalu, mendapat pendedahan di muka depan akhbar berbahasa Inggeris itu menyebabkan dia meletakkan ‘garis penamat’ daripada terus berdiam diri.

Baca: Facebook Jason Lo

Tulisan saya ini bukanlah untuk menyebelahi mana-mana pihak tetapi saya rasa semua orang yang membaca, perlu membaca daripada kedua-dua belah pihak. Kasihan pada anak-anak yang terpaksa melalui ‘perbicaraan’ umum sebelum pihak berkuasa memberikan sebarang keputusan.

Kita yang melihat pasti tidak dapat merasai apa yang keluarga ini lalui. Ini bukan setakat hal-hal peribadi keluarga, tetapi telah menjadi kes besar. Penceraian biasa pun sudah cukup menyakitkan buat anak-anak, tetapi ditambah dengan ini? Mungkin kita semua patut memberikan ruang kepada mereka dan juga yang berkenaan untuk menyelesaikannya.

Semoga keadilan muncul dengan segera. Salam Ramadan.

Jumpa Lagi!

Bila Badrul Bicara

Kredit Gambar: Google

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.