Suami penyanyi Adira Suhaimi, Datuk Seri Adnan Abu meluahkan rasa kesal terhadap babak bersentuhan dalam muzik video terbaru isterinya.

Lebih mengecewakan apabila tegurannya sebelum ini seolah-olah tidak diendahkan oleh mana-mana pihak.

Datuk Seri Adnan atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk Red meluahkan isi hatinya menerusi entri terbaru diakaun Instagramnya baru-baru ini.

Entri itu turut disertakan dengan ‘screenshot’ babak bersentuhan antara Adira dan juga model lelaki muzik video berkenaan.

“Ya… Kita dulu jahat tapi atas nama Islam kita cuba berubah menjadi yang lebih baik. Sekarang la balasan yang kita hadapi.

“Bila benda haram dihalalkan manusia akhir zaman… Pihak syarikat pun tak ada kuasa pasal dengan siapa dah sign kontrak.

“Tak apa lah mungkin di sana nanti kontrak tu yang membawa kita ke sana... Kita harap semua yang terlibat diberikan hidayah.

“Kita manusia sudah mencuba segala terdaya tapi apa kan daya hanya Allah saja tempat mengadu. Ya Allah ampuni dosa aku… Dosa isteri-isteri aku, anak-anak aku dan semua umat Islam Ya Allah huakbar,” tulisnya.

Posting itu juga turut disertakan dengan hashtag #sudahbincang #masehlagi #tiadatempatuntukmengadu #sebelumjadidayus #nusyuz #popularyangdikejar.

Terdahulu, Datuk Red meluahkan rasa kesal dengan tindakan Adira yang dikatakan tidak menghormati kedudukannya sebagai suami apabila memegang tangan model lelaki dalam video muzik itu.

Adira merupakan isteri kedua Datuk Red dan pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2015.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Anggrek pada 10 Mac 2017 dan Asan pada 9 September 2018.

Foto: Instagram @dato.red