Laman Utama
“Bila Dah Berhijab Dan Nak Rap Ni…”- Rapper Muslimah, Zizi Kirana Gementar Dengan Penerimaan Orang
Pelakon Zizi Kirana tidak menafikan bahawa dia gementar untuk kembali menyanyi lebih-lebih lagi ‘rapping’ selepas bertukar imej berhijab.
Kata Zizi dia bimbang akan penerimaan orang tentang imej terbaharunya sebagai rapper.
“Saya tak nafikan memang takut juga nak rap selepas berhijab ni. Bila dah berhijab dan nak rap ni gementar pula. Yelah apa pula orang kata atau sesuai ke tidak.
“Tapi lama kelamaan orang sekeliling cuba memberi kata-kata semangat kepada saya untuk teruskan kerjaya seni ini,” katanya kepada Gempak.
Zizi ditemu bual ketika melancarkan single terbaharunya berjudul Pijak baru-baru ini.
Pun begitu, Zizi memberitahu penampilan dan caranya kini berbeza dan masih menjaga batas.
“Lagipun sebagai isteri orang, saya kena tahu batasan. Saya tidak boleh terlalu berseronok atau lincah seperti dulu. Alhamdulillah, 'team' saya memahami.
"Apa yang penting adalah jalan cerita yang hendak disampaikan di sebalik lagu itu," katanya.
Mengulas mengenai lagu Pijak, Zizi memberitahu ia sedikit sebanyak diambil dari pengalamannya serta dalam masa yang sama memberi nasihat dan semangat kepada yang mendengarnya.
"Lagu Pijak bercerita mengenai perangai orang yang suka mengambil kesempatan, membuli, melakukan penyeksaan mental, merendahkan orang dan seumpamanya.
"Lagu ini adalah untuk memberi semangat dan nasihat. Biarpun orang pijak kita, kita jangan mengalah. Namun, janganlah kita pijak balik.
"Saya jumpa ramai orang. Jadi, banyak pengalaman yang saya lalui. Apa yang saya belajar daripada perjalanan hidup ini, saya sering dinasihatkan untuk belajar cakap 'tidak'.
"Bukan bermaksud melawan, namun, ada masanya kita perlu cakap 'ya' dan ada ketikanya, 'tidak',”katanya.
Must-Watch Video