Pelakon dan pengacara Elly Mazlein, 41, masih mengunci mulut mengenai spekulasi orang ramai yang mengatakan dia kini berbadan dua.

Menurut Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata dia tidak akan merahsiakan sebaliknya berjanji akan berkongsi berita gembira itu di platform media sosialnya.

"Saya tahu ramai sayang dan selalu mendoakan saya.

"Bila dah sampai masa dan dah 'confirm', saya akan kongsikan berita itu di Instagram untuk cuba berlaku adil kepada semua pihak media yang sentiasa menyokong saya," katanya kepada Gempak.

Elly ditemui ketika majlis pelancaran Program Ramadan Astro yang berlangsung di Astro Bukit Jalil, semalam.

Pada tahun ini, Elly menjadi sebahagaian daripada 'Skuad Lembaran Baharu', yang turut terdiri daripada Alif Satar, Cik B, Radin ERA, Dina Nadzir Sinar, Shah Gegar, Isha Norshsm dah pasangan karekter animasi Islamik popular, Omar & Hana selaku duta.

BACA: "Ada 'N To N', 'Jejak Ebit Lew' & 'Ramadan Pertama Edi' ... Astro Saji 100 Rancangan Menarik Sempena Ramadan & Raya 2021!

Dalam pada itu, pelakon Ramadan Pertama Edi ini mendedahkan anak perempuannya, Putri Sara Sefhia juga pernah menyuarakan hasrat untuk memiliki adik sendiri sejak sekian lama.

"Sefhia memang dah lama cakap fasal nak adik dan peminat pun nak tengok anak bersama suami.

"Kalau betul-betul ada (hamil), saya akan beritahu. Bukan sebab nak tunggu dah masuk bulan ketiga atau keempat baharu nak umum apa," katanya lagi.

Sebelum ini, penampilan Elly dalam program Muzikal Lawak Superstar 2 (MLS2) menjadi perhatian netizen kerana kerap mengusap bahagian perutnya sewaktu siaran langsung.

Elly berkahwin dengan Muhammad Azlan Che Nuh, 31, pada 18 Januari 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Elly pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Azmi Hatta, pada 9 November 2014 dan dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia, 5. Mereka bercerai pada 15 Oktober 2015.