Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat akui kisah dan pengalaman hidup peserta Mikrofon Impian benar-benar menyentuh hatinya.

Ujar Azmi yang merupakan salah seorang juri rancangan terbabit, program itu bukan pertandingan nyanyian biasa malah ia sebenarnya lebih bersifat sentimental.

"Saya tak pernah jadi juri dalam mana-mana program sebelum ini, apabila mendapat tawaran saya terfikir layakkah saya?

"Menyanyi bukan sekadar mendengar tetapi kena tengok persembahan pentas dan mimik muka. Namun, mujurlah pihak produksi berikan kelonggaran kepada saya untuk menilai selain daripada persembahan semata-mata.

"Program ini bukan rancangan nyanyian biasa, ia lebih kepada penyampaian kisah hidup peserta. Itu yang menariknya tentang Mikrofon Impian," katanya kepada Gempak.

Lebih memilukan hati apabila Azmi mendengar pelbagai kisah sedih peserta Mikrofon Impian dan ada antaranya yang membekas dalam jiwa.

"Kita sudah rasa susah, tetapi apabila mendengar cerita mereka kita rasa lebih beruntung daripada mereka semua.

"Salah satunya tentang seorang lelaki yang hilang kerjaya dan keluarga kerana terjerat dengan aktiviti berjudi.

"Dia datang ke Mikrofon Impian bukan berharap untuk menang tetapi mengambil peluang untuk memohon maaf kepada keluarganya.

"Jadi, cara dia buatkan saya rasa betapa tulusnya dia untuk memohon maaf. Semua orang buat silap dalam dunia ini, tiada yang sempurna," tambahnya.

Mikrofon Impian dibawakan oleh Chatime Malaysia bersiaran setiap hari Ahad, jam 9.00 malam menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123).