Pengacara terkenal Datuk Aznil Haji Nawawi meluahkan rasa rindu pada kedua-dua arwah abangnya yang telah pergi menghadap Ilahi bulan lalu.

Menurut Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil, bukan beliau sahaja yang merasa kehilangan tetapi semua adik-beradik yang lain tidak boleh menerima hakikat kedua-dua abang mereka telah tiada.

“Saya merupakan anak ketiga dalam keluarga dan arwah merupakan anak sulung dan anak kedua.

“Paling terkesan terutamanya bila dalam WhatsApp group, nama ada tapi mereka diam,” ujar Pak Nil kepada Gempak.



Pak Nil ditemui ketika menyertai lawatan Discover Royale Chulan Hospitality bersama Hotel Royale Chulan dan Firefly Airlines di Royale Chulan Cherating Chalets sebentar tadi.

“Saya antara orang yang aktif dalam group, banyak bagi nasihat pada adik-beradik. Arwah juga seorang yang suka melawak.

“Untung bila ada group chat ni, adik-beradik yang tinggal jauh terasa sangat dekat.

“Tapi sekarang bila saya hantar mesej, dia seorang je yang tak baca. Rindu, rindu sangat,” ujar Pak Nil sebak.

Aznil kehilangan seorang abang, Azharnim Nawawi yang menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung dengan penyakit kanser pada 17 September.

Allahyarham Azharnim meninggal dunia hampir sebulan selepas pemergian seorang lagi abangnya, Azmir Nawawi pada 19 Ogos lalu.