Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Hiburan

"Bila Kahwin Saya Bukan Nak Bercerai" - Didakwa Sengaja Lengahkan Proses Penceraian, Ini Jawapan Sharnaaz Ahmad

Zulaikha Yusof 24/01/2020 | 01:12 MYT
Pelakon Sharnaaz Ahmad tampil membuka mulut mengenai dakwaan yang mengatakan dirinya sengaja melengah-lengahkan proses perceraian dengan isteri, Noor Nabila Mohd Noor.
Tegas Sharnaaz, niat utama dirinya berkahwin bukan untuk bercerai.
"Orang tanya, kenapa belum lepaskan dia, adakah kerana masih sayang atau nak seksa dia? Ini bukan soal seksa, sayang atau tak usaha untuk perbaiki, itu semua sudah tidak penting.
"Ini soal yang satu, kenapa kahwin? Kalau kahwin untuk bercerai, saya tak kahwinlah.
"Buat apa saya kahwin? Kalau semata-mata nak dapatkan satu kurniaan Allah depan mata untuk seksa dia? Bukan macam tu.
"Yang boleh saya cakap, bila kahwin saya bukan nak bercerai. Tetapi kalau betul nak bercerai, bukan keluar daripada mulut saya.
"Sebagai lelaki, apabila kita diijabkabul ia bukan rasa seronok. Sebaliknya, lebih kepada perasaan terharu sebab kita akan jaga anak orang dan mempunyai tanggungjawab.
"Selepas akad nikah, kita akan dengar lafaz taklik yang dibaca. Saya dengar dan ingat setiap ayat itu.
"Ketika ia dibaca itulah saya sedih. Adakah kita mampu untuk jalankan? Itulah yang buatkan saya terfikir dan kini ia sudah sampai ke situ.
"Apa yang saya lakukan ini demi anak atau lebih tepat sebagai bapa kepada Jebat.
"Saya mahu hak saya. Jadi, saya biarkan hal ini kepada Mahkamah Syariah untuk melakukan tugas mereka," katanya kepada Gempak.
Sharnaaz ditemui di lokasi penggambaran filem Polis Evo 3 di Jalan Ampang semalam.
Tambah Sharnaaz yang memegang watak antagonis, Reza akui lebih matang menghadapi kemelut rumah tangga.
"Dulu kita ni memanglah panas baran, tapi itu transisi saya pada zaman yang tak matanglah.
"Bila sudah berkahwin, kita kahwin dengan tanggungjawab. Kita ada isteri dan anak, jadi kita perlu lebih matang.
“Tapi kalau kita banyak berlembut pun tidak boleh. Orang kata kita tak boleh hilang gerun kita.
"Suami ni kena ada gerun dia sikit. Hal itu yang saya jaga.
"Saya jadi lebih kuat dengan ada Allah dan Jebat di sisi," katanya lagi.
Pada 6 November 2019, mahkamah memerintah melantik wakil dalam proses timbang tara (hakam) berhubung kes perceraian pasangan tersebut selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang dilantik.
Menerusi proses terbabit, mahkamah mempunyai kuasa melantik dari kalangan saudara-mara terdekat kedua-dua pihak, iaitu dua penimbang tara yang mempunyai makluman berkaitan isu rumah tangga pemohon dan defendan.
Pihak Sharnaaz melantik salah seorang rakan baiknya, manakala Nabila memilih bapa tirinya menjadi hakam.
Namun begitu, keputusan laporan hakam yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur sebentar tadi gagal menemui kesepakatan untuk mencapai persetujuan.
Mengikut Seksyen 48 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984, sekiranya kedua-dua hakam tidak bersepakat, maka hakam tersebut digugurkan oleh mahkamah.
Hakim juga telah menetapkan 27 Februari 2020 untuk melantik hakam yang baru yang mempunyai kuasa untuk melafazkan cerai bagi pihak suami.
Sharnaaz dan Nabila bernikah pada 31 Mac 2017 di Hotel Royale Chulan, Damansara, Selangor.
Hasil perkahwinan itu, pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Jebat Jayden.
#Sharnaaz Ahmad #Noor Nabila
;