Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Bila Kena Sentuh Lelaki…”- Gambit Cabar Diri Ambil Watak Gay

Syafiqah Jalal
16/02/2022 09:36 MYT
Pelakon Gambit akui mencabar dirinya untuk membawakan watak baharu iaitu sebagai gay atau lelaki songsang di dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa.

Kata Gambit atau nama sebenarnya Saifullah Rosli, 37, dia sedia menerima kesan serta kritikan daripada drama berkenaan.

“Sebelum saya terima tawaran ini saya sudah meneliti semuanya termasuk apakah kesannya kepada saya sebagai pelakon dan sebagainya.

“Saya tahu kesannya agak teruk seperti saya kena menjawab segala kritikan tetapi sebagai pelakon ia merupakan satu kepuasan,” katanya.

Gambit berkongsi mengenai wataknya itu ketika sidang media virtual Suamiku Lelaki Pendosa, semalam.

Bercerita pengalamannya memegang watak itu menjadi pasangan kepada aktor, Datuk Aaron Aziz, Gambit memberitahu ia agak kekok pada awalnya dan akui sangat mencabar.

“Sudah tentu ia sangat mencabar. Memang ia perkara yang tidak asing berlaku dalam kehidupan kita kini malah sebelum ini lagi.

“Saya akui kekok pada hari pertama penggambaran saya perlu pegang tangan lelaki rasa agak janggal. Transisi sebagai pelakon dengan diri kita sendiri tu memang susah.

“Terus-terang kalau dengan lelaki yang saya memang sangsi dengan statusnya sebagai lelaki tulen, saya pasti tidak akan buat.

“Saya terima berlakon ini pun kerana Aaron dan saya kenal dia macam mana. Tapi apa yang penting niat kami untuk sampaikannya kepada penonton,” ceritanya lagi.

Suamiku Lelaki Pendosa merupakan drama adaptasi novel yang diarahkan oleh Eyra Rahman dan diatayangkan di Slot Samarinda.

Saksikan juga drama bersiri terbaharu Tetuan Ang dan Rahimin yang dibintangi oleh Daiyan Trisha, Rashidi Ishak, Ben Amir dan ramai lagi setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di saluran Astro Ria dan boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO.
#Aaron Aziz #Gambit #Gay #Lelaki #Songsang
;