Laman Utama

“Bila Kerajaan Dah Benarkan Menziarah, Tak Ada Pulak Berduyun Datang.. Mungkin Sibuk Bercuti Gamaknya” - Jasmin Hamid Tertanya Mengapa Kawasan Perkuburan Lengang

gempak
Izwan Isa
07/10/2021
06:55 MYT
Sponsor Banner
“Bila Kerajaan Dah Benarkan Menziarah, Tak Ada Pulak Berduyun Datang.. Mungkin Sibuk Bercuti Gamaknya” - Jasmin Hamid Tertanya Mengapa Kawasan Perkuburan Lengang
Pelakon popular, Jasmin Hamid meluahkan rasa ingin tahu apabila menyaksikan kawasan perkuburan yang sering dikunjungi untuk menziarahi pusara ayah dan bondanya kelihatan lengang walaupun selepas aktiviti menziarah dibenarkan oleh pihak kerajaan.
Menerusi hantaran yang dikongsikan di Instagram, Jasmin berkata, dia berasa agak hairan memandangkan ramai yang merungut tidak dapat melakukan aktiviti ziarah sewaktu tanah perkuburan diarahkan tutup akibat penularan wabak COVID-19 yang melanda negara.
“Syukur kepada Allah… Dengan izin-Nya saya dapat ziarah kubur arwah mama dan arwah baba saya setelah sekian lama tak dapat ziarah kerana Perintah Kawalan Pergerakan. Walaupun doa yang tak pernah putus buat kedua arwah Ibu bapa saya, tapi saat dapat menziarah kubur orang tersayang teramatlah nikmat dan bahagia... Sesungguhnya arwah tahu akan kehadiran kita saat menziarahi mereka.
“Cuma dalam hati kecil saya berkata-kata... Kenapa tak ada orang yang datang menziarah pusara? Selain dari orang yang sama saja yang selalu datang ziarah kubur keluarga mereka, sedangkan masa tu adalah hujung minggu.
“Bukan semua orang kerja hujung minggu dan tinggal luar daerah pun. Kebanyakan yang dikebumikan di sini, keutamaan diberikan untuk khariah di sini... Hanya segelintir sahaja orang luar daerah.
“Padahal masa PKP hari tu, ramai yang merungut kenapa tutup kawasan kubur, marah tak dapat ziarah kubur dan sampai ada yang kena saman sebab ziarah kubur masa PKP, “ luah Jasmin.
BACA: Jasmin Hamid Kesal Akaun Media Sosial Dilabel 'Kotor' Gara-Gara...
Dalam masa sama, pelakon berusia 47 tahun itu turut berkongsi pengalaman yang terpaksa dilalui ketika menziarahi pusara sewaktu musim perayaan.
“Pengalaman saya sendiri, ramai yang ziarah kubur hanya masa Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha sahaja. Sampai sesaklah jalan nak masuk kubur. Dah macam pesta… Semenjak pada tu, menjelang hari raya, saya akan menziarah kubur arwah ibu bapa saya sehari sebelum sebab tak sanggup nak berebut parking dengan pengunjung yang datang berziarah.
“Bila Kerajaan dah benarkan menziarah, tak ada pulak berduyun yang datang menziarah? Mungkin ramai yang sibuk pergi bercuti gamaknya. Penuhkan tempat percutian dari datang menziarah kubur dan penuhkan masjid. Ini adalah fitrah manusia. Husnudzon sahajalah,” tulis Jasmin.
Dalam pada itu, Jasmin turut berkongsi pesanan yang diterima oleh arwah opahnya suatu ketika dahulu.
“Saya sentiasa ingat pesan arwah opah saya. Selagi kita hidup, kerja tak akan pernah habis. Dan sibuk kerja bukanlah alasan yang boleh dipakai untuk kita abaikan masa bersama orang tersayang. Kita sendiri yang kena tentukan masa itu selagi Allah masih pinjamkan nafas buat kita.
“Semoga Allah ampunkan segala dosa saya dan seluruh umat muslimin dan muslimat… Diharamkan azab api neraka dan fitnah kubur. Mendapat Husnul Khatimah, ditempatkan di dalam syurga-Nya tanpa hisab dan dapat bersama dengan Baginda Rasulullah di dalam Syurga Firdaus. Amin,” tutup Jasmin.
Untuk rekod, kedua ibu dan bapa meninggal dunia pada 26 Mei 2016 dan 18 Disember 2016.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live