Bila Korea & Hollywood Bergabung! Ini 5 Sebab Anda Perlu Tonton Misteri Dilaila

Amri Hassan
Februari 20, 2019 18:31 MYT
Misteri Dilaila sudah mula menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai hari ini.
Semisteri judul dan poster promosi filem itu, ia membuatkan ramai yang tertanya-tanya filem bagaimanakah Misteri Dilaila ini.
Gempak berkesempatan menonton filem Misteri Dilaila sempena majlis pratonton tayangan perdana di e@Curve, Damansara akui; filem ini antara naskhah pembuka tahun 2019 terbaik.
Jadi, apa kata kami senaraikan 5 sebab anda perlu menonton Misteri Dilaila.
1. Zul Ariffin & Elizabeth Tan; Bergabung Meletup!
Dua nama besar dalam industri hiburan tempatan, Zul Ariffin dan Elizabeth Tan tanpa dijangka disatukan dalam filem Misteri Dilaila.
Ini juga menjadi buah tangan pertama mereka dalam genre filem thriller seram.
Zul menjayakan karakter Jefri manakala watak Dilaila diberikan kepada Elizabeth!
Jangan lupa ya ada Sasqia Dahuri, Datuk Rosyam Nor dan Namron juga.
2. Jalan Cerita Tak Klise
Jalan ceritanya mudah, mengisahkan pasangan suami isteri, Jefri (Zul Ariffin) dan Dilaila (Elizabeth) bercuti di sebuah banglo di Bukit Fraser.
Malam pertama disana, Jefri diganggu dengan kejadian aneh dan keesokannya, Jefri mendapati Isterinya hilang.
Imam Aziz (Namron) muncul dengan berita gembira. Dia memberitahu, isterinya sudah ditemui dalam keadaan selamat. Jefri bagaimanapun terkejut wanita yang muncul bersama Imam Aziz bukan isterinya.
Persoalannya dimanakah Dilaila yang sebenar? Siapa pula yang menyamar menjadi Dilaila?
3. Rasa Nak Singgah Fraser Hill
Fraser Hill sering menjadi lokasi eskapisme warga kota yang ingin merehatkan minda seketika. Cuaca dingin, sejuk dan menyamankan menjadi sebab lokasi itu menjadi tumpuan.
Hampir keseluruhan shot dalam filem ini menampilkan Fraser Hill sebagai latar tempat.
Malah, filem Misteri Dilaila membuka mata penonton akan kewujudan sebuah banglo agam di salah satu kawasan sekitar Fraser Hill yang terkandung pelbagai kisah.
Secara tidak langsung, Misteri Dilaila menggamit rasa penonton untuk berkunjung ke destinasi percutian itu. Sesekali apa salahnya...
4. Sentuhan Syafiq Yusof
Desolasi, SAM, Abang Long Fadil, Villa Nabila, Abang Long Fadil 2 dan KL Special Force antara deretak karya hebat Syafiq Yusof.
Malah, Syafiq pernah dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik Filem pada Anugerah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) 2017 menerusi filem Desolasi.
Melihat sejarah hasil kualiti pada pengarah muda ini, rasanya tiada sebab untuk tidak menonton karya terbaru ini.
5. Teknikal & Props Yang Teliti
Produksi filem ini benar-benar teliti dalam memilih lokasi, props, pelakon dan suntingan selepas filem ini siap penggambaran.
Difahamkan, banglo mewah di Fraser Hill telah diubah suai dengan dipasangkan wallpaper hijau dan karpet merah untuk memberikan mood seperti filem seram Korea.
Manakala, teknik suntingan babak ke babak mengambil inspirasi daripada filem-filem Hollywood. Kelas tau!
Jadi, jangan lupa saksikan filem hebat ini bermula 21 Februari (hari ini!).
Misteri Dilaila akan ditayangkan di lebih 100 buah pawagam di tiga negara, Malaysia, Singapura dan Brunei. Malah, filem ini akan turut memasuki pawagam Indonesia lagi tiga minggu.
#Filem #Filem #Review #Misteri Dilaila