"Bila Pukul 2 Pagi, Tangan Saya Gatal-Gatal, Naik Biji-Biji..." - Michael Ang Cerita Pengalaman Misteri... Seramnya!

Kamaruddin Razal
Oktober 18, 2019 22:00 MYT
Pengarah dan pelakon Michael Ang menjelaskan karya terbarunya, telefilem seram Penaklukan Syaitan berkisarkan mengenai santau.
Telefilem yang menampilkan lakonan Mawar Rashid, Ben Amir, Nadya Syahera, Sharifah Shahora, Norlia Ghani, Alif Muhaimin dan ramai lagi ini bakal bersiaran pada malam ini.
"Memang saya nak buat cerita mengenai santau. Apa yang saya ceritakan dalam naskhah ini merupakan serpihan pengalaman orang sekeliling yang saya dengar, tetapi ia hanya rekaan semata-mata.
"Mereka bercerita kepada saya mengenai perkara terbabit... Mereka rasa seperti mulut kena tutup, tangan gatal-gatal dan sebagainya," katanya.
Tambah Michael, dia sendiri pernah melalui kejadian 'misteri' yang menyebabkan tangannya mengalami gatal-gatal.
"Saya sendiri pernah melaluinya. Lebih kurang tiga, empat tahun lepas. Ketika itu, saya tak tahu yang saya kena 'benda' tu.
"Tangan saya naik gatal-gatal, lebih kurang pada jam 2 pagi, naik biji-biji. Sebelum azan subuh, biji-biji itu hilang. Ia seperti ruam. Selama sebulan, hampir setiap hari," kata Michael.
"Saya pergi berjumpa doktor dua tiga kali, mereka mengesahkan tiada apa-apa. Selepas itu saya mula rasa penat kerana saya tak boleh tidur.
"Ada yang datang menyarankan saya berjumpa orang yang sepatutnya. Selepas itu, semuanya kembali baik seperti sediakala," ceritanya lagi.
Jangan lupa saksikan telefilem Penaklukan Syaitan di slot Citra Exclusive yang bakal bersiaran hari ini, (19 Oktober), pada jam 9 malam di Astro Citra (131) dan Citra HD (126)!
#Michael Ang #Penaklukan Syaitan