“Bila Selebriti Tak Patuh SOP Bising, Tapi…” - Ramai Tak Puas Hati Pengunjung Bazar Jalan TAR Masih Tiada Penjarakan
Jika sebelum ini isu kesesakan pengunjung di bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) mencetuskan kemarahan netizen, namun ia dilihat masih belum reda.
Menerusi tinjuan Gempak di media sosial, ramai yang agak bengang apabila pengunjung masih sanggup bersesak mencari barangan raya biarpun kes di Kuala Lumpur dan Selangor antara yang tertinggi.
Malah, rata-rata mereka kecewa apabila kesedaran orang ramai tentang bahayanya pandemik COVID-19 masih rendah.
“Macam tak ada perubahan pun dekat jalan TAR ni walaupun angka dah lebih 3,000.”
“Ramainya umat, tak sedar ke COVID makin tinggi.”
“Bila selebriti tak patuh SOP bising, tapi jalan TAR ni penuh eh,” tulis beberapa netizen.
Sementara itu menerusi laporan Berita Harian, biarpun pengunjung mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, namun mereka masih gagal mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain.
Selain itu, ada juga pengunjung membawa anak kecil beratur dalam keadaan rapat sehingga ditegur anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang melakukan rondaan bagi memastikan SOP sentiasa dipatuhi.
Sekadar info, penganjur bazar Aidilfitri di Jalan TAR kini diarah memperkemaskan SOP termasuk menghantar laporan harian kepada Kementerian Wilayah Persekutuan berhubung perjalanan operasi di situ.
Arahan dikeluarkan susulan tersebar beberapa gambar dan video memaparkan kesesakan orang ramai yang ingin memasuki bazar Aidilfitri Jalan TAR sehingga mengabaikan SOP, termasuk penjarakan fizikal.