Pelakon dan pengacara Elizad Sharifuddin berang apabila menerima kata-kata cacian dan makian oleh pengikut akaun Instagram (IG) miliknya gara-gara tidak membalas komen di laman sosial.

Menurut Elizad dia tidak menyangka pengikut IGnya boleh bertindak sedemikian sedangkan dia tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa.

“Saya terkejut bila dia boleh keluarkan kata-kata begitu hanya gara-gara saya tidak membalas komennya.

“Memang saya seorang yang rajin melayan peminat di laman sosial jika ada kelapangan saya balas komen-komen mereka. Cuma mungkin saya ada terlepas pandang.

“Saya tiada niat untuk menyakiti sesiapa dan cuba bersikap adil,” katanya.

Penyampai Sinar itu berkata kepada Astro Gempak selepas diminta menjelaskan mengenai entri di IG Story miliknya yang meluahkan rasa marahnya itu.

Namun, Elizad berharap perkara ini tidak berulang dan menasihati semua termasuk pengikut laman sosialnya supaya memahami keadaannya sebagai pelakon, pengacara dan penyampai radio Sinar FM.

“Saya harap selepas ini jika saya tidak membalas komen atau mesej di di IG , malah di aplikasi Whatsapp sekalipun jangan sesekali marah atau tidak berpuas hati.

“Cubalah berfikir baik-baik sahaja. Orang lain pun ada kerja lain juga. Macam saya mananya sibuk bekerja, dengan berlakon dan mengacara lagi.

“Lagipun siapa lah saya. Saya pun manusia biasa. Janganlah sampai kena maki-maki macam ni,” katanya lagi.

Elizad juga kini mengacarakan program Apa Ada Dengan Dot Dot yang ditayangkan setiap hari Jumaat jam 9 malam di Astro Ria.