"Bila Tak Sefahaman, Lebih Baik Berpisah" - Bekas Isteri Aziz M. Osman Enggan Ulas Isu Orang Ketiga
Asyikin Mayudin
16/08/2023 08:55 MYT
16/08/2023 08:55 MYT
Bekas isteri kepada pelakon dan pengarah Aziz M. Osman iaitu Puteri Lily mengakui dia sudah berusaha yang terbaik untuk mempertahankan rumah tangga mereka yang dibina sejak 13 tahun lalu.
Menganggap dugaan mematangkan diri, Puteri Lily memberitahu dia mempersiapkan mental dan fizikal sebelum meneruskan keputusan untuk bercerai.
"Bila hidup ini rasa I’m done dan sudah berusaha buat yang terbaik, rasa sudah sampai limit, dah tak nampak jalan untuk selesaikan lagi.
"Saya sudah bersedia dari sudah mental dan fizikal barulah kami teruskan untuk bercerai. Selebihnya tidak boleh dikongsikan kepada umum apa sebab terperinci.
"Dugaan ini sebenarnya mematangkan saya, semua orang mahu pertahankan rumah tangga mereka, dah cuba sehabis mungkin. Tapi bila ada pula topik lain, saya rasa sudah, cukup!
"Tempoh 13 tahun sebenarnya agak lama untuk kami bertahan, ia bukan mudah juga sebenarnya. Alhamdulillah, Allah permudahkan sampai di sini," katanya menerusi temu bual bersama program hiburan baru-baru ini.
Tambah Puteri Lily yang juga seorang penerbit, keputusan itu merupakan jalan terbaik dan perasaan mereka juga menjadi lebih tenang selepas disahkan bercerai.
"Bila tiada sefahaman, lebih baik perpisah secara baik. Mungkin kami berdua gagal sebagai pasangan hidup, namun sebagai kawan Insya-Allah kami baik.
“Tiada orang yang inginkan perceraian, kalau berlaku perceraian itu akan menjadi fasa terendah dalam hidup mereka. Ini (cerai) adalah keputusan terbaik untuk anak-anak juga.
“Kalau ibu bapa ada konflik itu tidak bagus untuk anak-anak. Apabila kami berdua sudah bercerai, Alhamdulillah kami rasa tenang. Anak pun okay dan dilihat sangat berlapang dada menerima keputusan ini," ujarnya.
Sementara itu, disoal adakah berpisah disebabkan wujud orang ketiga, Puteri Lily berkata dia enggan untuk mengulas lanjut kerana sudah berjanji dengan anak sulungnya, Puteri Nur Azzahra.
Terdahulu, Puteri Lily menerusi hantaran di Instagram Stories memaklumkan dia sudah pun bercerai dengan Aziz sejak bulan lalu.
Untuk rekod, Puteri Lily dan Aziz mendirikan rumah tangga pada 6 Jun 2010 dan ini merupakan perkahwinan ketiga buat Aziz.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Puteri Nur Azzahra, 12, dan Putera Muhamad Aryan, 5.