Pemain bola sepak negara, Zaquan Adha mengakui pengorbanan isterinya iaitu pelakon, Ayu Raudhah sewaktu melahirkan anak keenam mereka tidak mampu dibalas.

Zaquan menerusi hantaran terbaharu di ruangan Insta Story miliknya mengucapkan terima kasih kepada Ayu kerana menjadi seorang wanita yang kuat dan juga ibu kepada anak-anak mereka.

“Terima kasih kerana menjadi wanita kuat. Kekuatan awak tak termampu saya melawan… Pengorbanan awak tak termampu saya balas walaupun dengan duit ringgit,” tulisnya.

Dalam hantaran yang sama, Zaquan berkongsi melihat Ayu menahan kesakitan bersalin membuatkan dirinya terfikir masih banyak kekurangannya sebagai seorang suami.

“Bila saya tengok awak lawan sakit bertarung nyawa buatkan saya rasa betapa banyaknya kekurangan saya dalam menjadi suami dan daddy yang sempurna…

“Hanya mampu berdoa semoga Allah menjaga awak, anak-anak dan keluarga kita… I love you so much,” luahnya.


Terdahulu, Zaquan memaklumkan isterinya selamat bersalin anak keenam pada jam 2:25 petang Jumaat.

“Alhamdulillah, isteri saya telah selamat melahirkan bayi lelaki pada pukul 2:25 petang. Terima kasih atas doa semua,” maklumnya.


Untuk rekod, Ayu yang juga merupakan adik kepada pelakon Rozita Che Wan mendirikan rumah tangga bersama Zaquan pada 21 Januari 2011.

Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan lima ocahaya mata iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 9, Muhammad Aisy Aryann, 8, Laura Zuleykha, 5, Muhammad Aisy Khaliq, 3, dan Muhammad Aisy Al Jibreel yang berusia setahun enam bulan.