Berita
"Bila Tolak Pintu Tu, Tiba-tiba Ia Menolak Kembali Dengan Sendirinya" - Rosyam Nor Kongsi Kisah Seram Ketika Penggambaran Misteri Dilaila
Pelakon, pengacara dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor mendedahkan pengalaman seram yang dialami ketika menjalani penggambaran filem terbaru lakonannya iatu Misteri Dilaila.
Penggambaran filem tersebut dijalankan di sebuah banglo lama bertempat di Bukit Fraser, Pahang.
Menurut Rosyam, dari awal lagi, dia dinasihati untuk tidak memasuki satu bilik di dalam banglo itu kerana terdapat gangguan mistik.
"Sebelum memulakan penggambaran, saya dan pelakon lain dinasihati untuk mengelakkan diri dari memasuki sebuah bilik di dalam banglo tersebut.
"Bilik itu dikatakan agak 'keras' dan ada beberapa gangguan mistik telah berlaku kepada kru produksi.
"Ketika saya cuba menolak pintu bilik itu, tiba-tiba ia menolak kembali dengan sendirinya.
“Jadi selepas kejadian itu kami mengambil langkah untuk tidak memasuki ruangan itu," ujar Rosyam kepada Gempak.
Selain itu, Rosyam mengatakan tiada gangguan mistik berlaku kepada semua pelakon Misteri Dilaila sepanjang hampir 40 hari proses penggambaran di lokasi tersebut.
Filem ini menyaksikan Zul Ariffin, Elizabeth Tan dan Sasqia Dahari sebagai watak utama, sementara Rosyam memegang watak sebagai seorang polis yang bernama Inspektor Azman.
Jangan lupa saksikan Misteri Dilaila yang menjengah pawagam bermula hari ini.