Alhamdulillah, sebagai seorang Islam yang berada dalam lingkungan belakang tabir industri seni, aku sangat bersyukur dengan perkembangan demi perkembangan yang aku lihat dan baca.

Makin ramai penyanyi dan pelakon yang kini sudah berhijab bila hati mereka dibuka oleh Yang Maha Esa. Aku tidak mahu bercakap tentang hukum halal haram kerana aku rasa setiap daripada kita pun sudah tahu.



Aku juga tidak mahu menyentuh soal hati mereka kerana itu antara mereka dengan Tuhan. Apa yang aku nak perkatakan serba sedikit adalah tentang orang-orang sekeliling. Ya, kita semua!

Setiap daripada kita ada pendapat dan pandangan sendiri termasuklah aku. Ada yang bersyukur, ada yang memuji, ada yang memandang sinis dan ada yang menyindir.

Kali ini aku nak pecahkan lagi. Aku tak mahu bincangkan soal mereka yang bersyukur dan memuji, tetapi kepada segelintir mereka yang sinis dan menyindir.



Ada yang kata sebab nak dapat 'job' berlakon, ada yang kata sebab dah tak ada panggilan menyanyi, ada yang kata nak berniaga tudung dan macam-macam lagi cara sindiran. Ada yang halus dan ada yang kasar.

Aku cuma ingin melihat kita semua dapat buang perasaan sinis dan melihat dari sudut yang positif. Ini permulaan untuk mereka. Jadi janganlah kita pula yang terlalu memandang ke hadapan.

"Tak lama lagi buka baliklah tu."

"Bukan tak biasa artis ni buka tutup buka tutup."

"Bertudung tapi mulut macam puaka."

"Tutup atas tapi bawah pakai ketat."



Banyak! Terlalu banyak kalau nak diberikan contoh di sini. Sesuatu perkara yang membuatkan aku kadang-kadang tak berapa nak faham. Kenapa susah sangat kita nak berikan kata-kata positif? Kenapa payah untuk kita mendoakan yang baik-baik?

Macam yang aku cakap, aku menyentuh tentang segelintir pihak sahaja yang sentiasa tidak puas hati. Buat salah, tak buat salah. Kenapa kita sesama insan yang jadikan daripada tanah ini ada perbezaannya sedangkan itu hak Tuhan untuk menentukan?



Apa yang aku lihat sekarang ini adalah satu perubahan yang cukup baik untuk industri. Mungkin selepas ini pasangan suami isteri diambil untuk berlakon sebagai suami isteri. Mungkin selepas ini, lagu-lagu ketuhanan menguasai pentas-pentas nyanyian.

Sudah banyak produksi juga berubah. Kalau dulu, waktu solat pun tidak ada 'break', tetapi sekarang banyak sudah produksi yang menyediakan ruang untuk pelakon dan kru menunaikan ibadah solat.

Bukan niat untuk mengislamkan industri, tetapi kalau sebahagian besarnya beragama Islam, tentulah tidak ada bezanya, kan?



Kepada yang suka meninggalkan komen-komen sinis dan sindiran tu, jom sama-sama kita berubah. Kalau tidak ada benda baik yang perlu dikatakan, diamkan sahaja. Aku juga masih belajar setiap hari dan setiap masa.

Ini adalah permulaan untuk mereka. Allah SWT buka hati mereka. Kita jangan pula buat kerja Tuhan untuk tahu apa yang terjadi pada masa hadapan. Biarlah waktu yang menentukan. Bila terpesong, kita sama-sama tegur untuk mengingatkan. Bukan untuk mereka, tapi untuk diri kita juga.

Hijab tidak menghalang sesiapa untuk berjaya. Banyak kejayaan yang kita boleh lihat di sekeliling kita. Penyanyi nombor satu dan usahawan berjaya, Datuk Seri Siti Nurhaliza. Ratu rock negara, Ella. Pengacara dan juga usahawan berjaya, Neelofa. Hanya beberapa contoh yang aku bagi.



Terima kasih juga aku nak ucapkan kepada mereka semua yang selalu positif bila menulis komen dengan doa dan harapan, terutamanya kepada mereka yang baru dalam proses berubah. Doa anda adalah doa untuk diri sendiri juga.

Percayalah pada satu perkara. Rezeki itu daripada Allah SWT semata-mata. Bukan daripada manusia.

Jumpa lagi!

Bila Badrul Bicara


Kredit Gambar: Instagram

Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.