Hiburan

#BilaBadrulBicara: "Pakai Kain Warna Kulit Ni Macam Makan 'Char Siew' Yang Dibuat Daripada Tofu"

gempak
Badrul Hashim
07/01/2021
05:30 MYT
Sponsor Banner
#BilaBadrulBicara: "Pakai Kain Warna Kulit Ni Macam Makan 'Char Siew' Yang Dibuat Daripada Tofu"
Sehari dua ni memang orang asyik bercakap tentang pakaian Natasha Hudson pada satu majlis yang dihadirinya. Bukan orang biasa sahaja yang meninggalkan komen, malahan pereka fesyen pakaian itu sendiri turut terkejut.
Aku pun jadi pening-pening lalat. Dua tiga kali juga aku perhatikan gambar Natasha bergaun putih dengan sebelah bahu terdedah berlapikkan kain yang sama warna dengan warna kulit, dengan belahan bawah kain yang agak panjang.
Kalau dipakai oleh selebriti yang tidak berhijab, aku rasa tak ada ramai yang akan berbunyi. Paling keraspun, "seksinya!" kalau tidakpun dengan usikan-usikan komen nakal budak-budak baru baligh.
Bila Natasha memberitahu rakan editor, dia mengikut tema glamor yang ditetapkan penganjur, aku rasa nak ketawa. Ramai sahaja yang aku lihat selebriti-selebriti yang berhijab hadir ke majlis yang lebih berprestij tetapi tidak mendedahkan mana-mana bahagian tubuh, mahupun melapik dengan kain warna kulit. Kecil sangatkah definisi glamor tersebut untuk Natasha?
Perkara ini mengingatkan aku tentang satu kisah ketika keluar bersama kawan-kawan untuk makan tengahari. Buat pertama kali kawan aku teringin nak makan makanan berasas sayur-sayuran. 'Vegetarian', katanya. Aku ikut sahaja.
Melihat kepada menu yang tersedia, dia memilih mee wantan bersama tofu berbentuk 'char siew'.
"Boleh ke makan tofu yang dibentuk menjadi seperti pork dan mungkin rasanya juga hampir sama?" tanya aku keliru dengan pilihan teman tersebut.
"Alaaa, bukan pork betul pun. Ni daripada tauhu jer. Tauhu tu soya, halal dimakan," terang kawan aku seolah aku tak belajar tauhu itu asalnya daripada apa.
Yang menghairankan aku, dah tahu benda yang nak dimakan itu menyerupai benda yang haram dimakan, jadi apa sebab nak makan juga? Banyak tofu yang dibentuk seperti ayam, daging, udang, sotong dan lain-lain, kenapa itu juga jadi pilihan?
Berbalik kepada kisah Natasha Hudson, aku punya persoalan yang sama. Sudah tahu mendedahkan bahu itu haram, kenapa nak buat juga dengan kain yang menyerupai warna kulit bahu itu? Boleh tampal dengan bunga, atau menutupnya dengan tudung yang lebih labuh hingga melimpahi bahu, kenapa nak dedah juga?
Apakah nanti akan timbul perkara yang sama bila ada (minta dijauhkan) selebriti yang bertudung membuat baju lompang sana dan sini dan kemudian menutupnya dengan kain warna kulit? Kenapa mahu mencipta fitnah pada diri sendiri? Banyak pulak soalan aku!
Tak apalah, aku husnuzon. Kita semua husnuzon. Mungkin khilafnya sekali ini dan tidak berulang lagi. Mungkin baju pereka fesyen itu terlalu cantik dan sayang untuk ditinggalkan di dalam almari sahaja. Mungkin juga dia yakin dia tidak mendedahkan sebarang aurat. Boleh jadi juga.
Aku pun bukannya tahu apa sangat. Apa yang aku selalu ingat, perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah ini hendaklah dijauhkan. Fitnah kalau dah bertebaran susah nak dikutip balik. Jadi berhati-hatilah!
Betul, orang putih kata, 'bad publicity is still publicity', tapi ingatlah aib kita sesama manusia dan aib kita dengan Tuhan!
Jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Aqo Imran
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mencerminkan pandangan dan pendapat Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024