Gaya Hidup
#BilaBadrulBicara: Raya Normal Baru, Kami Tetap Mengucup Tangan & Mencium Pipi. Cuma Caranya Sedikit Berbeza
Hujung minggu yang baru berlalu ini adalah peluang yang diambil ramai untuk pulang ke kampung halaman. Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membenarkan rentas negeri menjadi jalan penyelesaian untuk mereka yang merindui kampung halaman, ibu bapa dan atuk nenek tersayang.
Sudah berbelas-belas tahun aku beraya di Kuala Lumpur kerana ayah dan ibu aku sudah aku bawa pindah ke sini. Pada aku, di mana ayah dan ibu aku berada, di situlah kampung halaman aku.
Cuma agak menyedihkan buat ayah dan ibu kerana buat pertama kalinya adik beradik lain yang bekerja dan bermastautin di luar Kuala Lumpur tidak ada pada pagi pertama Aidilfitri.
Kerinduan selepas solat Aidilfitri di rumah sedikit terubat dengan panggilan video ahli keluarga yang berjauhan. Sebak aku melihat linangan air mata seorang ibu, tapi aku menahan sabar kerana tidak mahu dia lebih bersedih.
Alhamdulillah, cuti hujung minggu dan ditambah dengan sehari dua cuti yang dipohon daripada tempat bekerja membolehkan kakak-kakak dan adik aku yang berjauhan pulang ke rumah ayah dan ibu.
Kami semua merancang untuk merayakan Aidilfitri 2.0 setelah semuanya dapat berkumpul. Hari sabtu menjadi hari yang dipilih dan Jumaat malam, semuanya sibuk di dapur menyiapkan juadah hari raya sekeluarga.
Aku dapat lihat kegembiraan yang jelas di wajah ayah dan ibu. Aku tahu, dalam mereka diam, rindu mereka sedikit terubat. Syukur, masih di dalam bulan Syawal dan masih ada peluang untuk menyambutnya bersama.
Pagi Sabtu, kami semua berpakaian hari raya. Di tangga rumah, terletak alat pengambil suhu, hand sanitizer dan juga mask. Setiap yang turun untuk sama-sama beraya dengan ibu dan ayah wajib mengambil suhu, menggunakan hand sanizer dan memakai mask.
Bukan itu sahaja, pagi sebelum ibu bapa aku turun ke bawah, aku sudah sanitize kan tempat duduk mereka, ruang tamu, ruang makan dan segala tempat yang aku rasakan penting. Ini normal baru, dan ini yang aku patuh.
Sesi bermaafan berjalan seperti biasa. Cuma ada sedikit yang berbeza. Bersalaman hanya selepas memakai sanitizer dan pasti tiada demam. Memohon maaf atas segala kesilapan lalu. Kemudian kami mencium pipi kedua-dua mereka. Cuma kali ini kulit tidak bersentuhan kerana masing-masing memakai mask. Tapi itu pada aku sudah cukup menggembirakan.
Cicit-cicit yang di bawah 6 tahun ditinggalkan di bilik bersama seorang anak sepupu. Kemudian, orang lain mengambil alih. Kerana keluarga kami besar, kami ambil giliran untuk makan. Yang tetap berada di meja makan adalah ibu dan ayah kerana masing-masing mahu mengadap muka mereka.
Enam orang satu meja besar yang boleh muat 12 orang, dan bergilir-gilir makan mengadap ibu dan ayah. Ada yang lapar, tapi kami tahankan sehinggalah giliran tiba. Normal baru tidaklah sesusah manapun.
Ahad, masing-masing sudah siap sedia untuk pulang ke tempat bermastautin masing-masing. Gembira bercampur sedih. Gembira kerana selepas sekian lama, akhirnya dapat bersua muka. Sedih kerana tidak tahu bila lagi dapat bertemu kembali dalam suasana yang tidak menentu ini.
Aku rasa tidak ada sesiapapun yang mahu meletakkan orang tua mereka dalam keadaan bahaya. Mungkin ada satu dua yang terlupa, tapi aku harap semua orang akan meneruskan normal baru kehidupan.
Setiap hari kita berdoa semoga keluarga kita selamat, pastinya kita tidak mahu menjadi penyebab mereka berada dalam keadaan bahaya. Aku rasakan, normal baru sudah menjadi kebiasaan untuk aku. Keluar rumah dengan hand sanitizer dan mask. Balik rumah terus mandi, bersihkan badan dan asingkan pakaian.
Aku harap rakyat Malaysia akan terus menjaga. Aku harap kita semua akan selamat, dan aku harap masyarakat dunia juga akan selamat hinggalah kita bertemu dengan vaksinnya nanti.
Jaga diri, disiplinkan diri dan patuhi SOP ketika di luar. Ingat, kita belum menang!
Jumpa lagi.
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: GooglePandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Must-Watch Video