Viral
#BilaBadrulBicara: Siapa Sugu Pavithra? Kenapa Dia Menjadi Bualan Hangat Hingga Perdana Menteri Pun Bagi Hadiah?
Hampir sebulan juga aku mendengar rintihan kawan aku Leen Bakar di Twitter tentang mencari kacang dal yang besar untuk buat kuih Vadai cara Sugu Pavithra. Sekejap hancurlah, sekejap jadi macam cokodok lah.
Walaupun aku juga gemar memasak, tetapi aku buat endah tak endah sahaja setiap kali nama Pavithra disebut-sebut di media sosial terutamanya di Twitter dan Facebook.
Namun minggu lalu namanya mula meletup-letup di media massa sehinggakan kisah pendapatannya melalui saluran YouTube miliknya dibincangkan, hadiah daripada Perdana Menteri diperkatakan dan banyak kisah lain lagi.
Memandangkan minggu lepas minggu terakhir berpuasa, aku pun rasa curiga dengan nama Sugu Pavithra yang dah makin panas diperkatakan ramai. Semalam aku buka YouTube, dan aku taip namanya.
Pakai Kuali Usia 3 Tahun, Pengikut Lebih Setengah Juta
Ada lebih kurang 77 buah video yang dikongsi tapi bukan semua video masakan dan yang mengikuti saluran YouTube Sugu Pavithra ada 620,000 orang! Wow! Mesti masakannya luar biasa, dengan periuk belanga berjenama serta pinggan mangkuk yang mahal harganya.
Tapi sangkaan aku meleset. Pavithra hanya guna kuali biasa sahaja yang dah berusia tiga tahun, dapur biasa sahaja dan pinggan kaca biasa sahaja. Singki pun satu sahaja. Tiada yang istimewa dari segi kemewahan. Tetapi di sebalik biasa sahaja itu, dia memang luar biasa.
Aku buka satu persatu video yang dimuat naik walaupun tidak semua. Kebanyakannya adalah masakan cara India, daripada kuih muih hinggalah ke lauk pauk. Aku terpegun kerana di sebalik yang biasa itu, dia sangat luar biasa.
Apa yang luar biasanya? Yang sangat luar biasa adalah caranya yang biasa. Tidak perlu barangan berjenama, tetapi cukup sekadar keikhlasannya untuk berkongsi resepi bersama sesiapa yang sudi melihatnya. Apatah lagi niatnya untuk membantu ekonomi keluarga.
Masak Dari Hati Dan Tidak Fake
Mudah dan tidak cerewet tanpa perlu perhiasan yang pelik-pelik. Dia memberi dari hati, bercakap dengan tenang, dan sungguh senang mendengarnya.
Dia tidak 'fake' dalam memasak, tiada pembantu kecuali sang suami yang mengambil video menggunakan telefon bimbit. Tapi sedapkah, tanya hati aku. Lalu aku memilih satu resepi yang aku ada bahan-bahannya dan aku mencuba sendiri - Sardin dan roti puri.
Aku tak kenal pun siapa Pavithra, tetapi bila aku mencuba resepi yang dikongsinya, aku rasa satu kenikmatan juadah yang sangat menyelerakan. Bermula tengahari tadi, aku berjanji akan mencuba beberapa lagi resepi yang dia kongsi. Dan aku juga berjanji tidak akan skip iklan supaya dia akan dapat bayaran daripada YouTube.
Aku berharap Pavithra akan sentiasa menjadi Pavithra, dan bukannya berubah menjadi tukang masak penuh glamor yang hanya nak tunjuk barang berjenama dan pinggan yang lawa. Aku mahu dia terus guna kuali yang sudah berumur tiga tahun itu.
Itulah keistimewaan Pavithra yang aku rasa sukar untuk aku pandang sipi. Aku suka dengan cara percakapannya yang lemah lembut, cara penyampaiannya yang mudah, cara penyediaannya yang tidak sukar, dan caranya hanya memakai t-shirt sahaja tanpa apron bagai.
Stay true to yourself, Pavithra. Kadang-kadang bila aku tengok video Pavithra berulang kali, mengingatkan aku pada kisah Mawi pulak!
Salam Jumaat dan jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar & Video: YouTube Sugu Pavithra
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Must-Watch Video