Gaya Hidup
#BilaBadrulBicara: Walau Sedikit Bimbang Dengan PKPP, Aku Percaya Dengan Kemampuan Sebilangan Besar Rakyat Malaysia!
Ramai yang bersyukur dengan pengumuman Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) petang semalam termasuk aku. Alhamdulillah, syukur!
Lagi beberapa hari, kita sudah boleh merentas negeri. Anak-anak yang terpisah sekian lama dengan ibu bapa pastinya dapat melepaskan rindu yang sudah lama terpendam.
Maaf, aku memang emosi kalau bab-bab sebegini. Memang menitis air mata bila baca dalam banyak group WhatsApp, melihat di media sosial tentang kerinduan mereka pada ibu bapa dan tidak sabar untuk pulang berjumpa dengan mereka.
Aku berdoa semoga semuanya dapat bertemu dalam keadaan sihat. Dan aku sangat berharap dalam apa jua kegembiraan sekalipun, janganlah sesekali lupa dengan normal baru. Bawa pulang kasih sayang, dan jangan bawa pulang wabak yang membahayakan.
Pakai mask, hand sanitizer dan apa juga cara untuk membersihkan diri sebelum bersalam dan berpeluk cium dengan ibu bapa, atuk dan nenek tercinta. Mereka adalah orang yang mempunyai risiko tinggi dijangkiti wabak Covid- 19. Jadi, merekalah yang kita harus jaga jika kita benar-benar sayangkan mereka.
Aku juga gembira bila Perdana Menteri mengumumkan pasar malam, pasar pagi, pasar tamu dan seumpamanya sudah boleh beroperasi kembali. Mereka yang bergantung harapan pada pendapatan harian ini dapat kembali semula mencari rezeki, dan aku doakan semoga dipermudahkan untuk semua.
Tapi aku juga berharap, biarpun sekadar berniaga di pasar harian dan mingguan, patuhlah dengan panduan kesihatan. Panas sikit tak apa kerana terpaksa pakai mask, tapi Insya-Allah, kita jauhkan apa yang perlu. Belanja lebih sikit untuk beli hand sanitizer atau sarung tangan tak apa, asalkan kita pastikan semuanya selamat.
Kalau boleh, aku nak semua orang ada alat mengambil suhu. Dengan cara itu, bila kita keluar mencari rezeki, kita tidak balik dengan membawa penyakit. Walaupun anda hanya peniaga kecil, tak salah melabur sikit beli alat mengambil suhu. Boleh guna ketika berniaga, boleh juga guna di rumah nanti untuk keluarga dan sanak saudara.
Bukan sahaja peniaga yang wajib patuh dengan normal baru, tetapi sesiapa sahaja sebagai pembeli juga. Tak mengapalah beratur panjang sikit kalau nak membeli cendol, rojak atau yong tau foo kegemaran, asalkan ada penjarakan sosial.
Sekurang-kurangnya satu meter dengan orang depan, dan satu meter dengan orang belakang. Itu tanggungjawab sesama kita. Kalau nampak orang belakang rapat sangat, tegurlah secara baik minta jarakkan. Jadikan perkara ini amalan kita setiap masa.
Kita mesti membudayakan normal baru ini. Normal baru adalah kehidupan kita bermula tiga bulan dahulu hinggalah vaksin ditemui nanti. Jangan ambil mudah hanya kerana PKPP membolehkan kita membuat sesuatu perkara.
Mengenai pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat karaoke yang masih tidak dibenarkan beroperasi, aku rasa itu pendekatan yang sangat bagus. Kalau lama lagi untuk dibenarkan sekalipun, aku rasa tak jadi masalah. Ini pendapat peribadi aku kerana tempat-tempat sebegini tidaklah mendatangkan manfaat sangat.
Kalau gian nak menyanyi, berkaraoke di rumah kerana banyak Aplikasi di telefon yang membolehkan anda menyanyi sepuas hati. Nak berjoget dan menari? TikTok ada dan boleh buat dengan anak-anak di rumah juga. Tapi pilihlah yang elok-elok sikit.
Aku sangat berharap normal-normal baru terus diamalkan. Sedih jika kita terpaksa kembali semula kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kita tidak amalkan normal-normal baru ini hingga menyebabkan wabak kembali menular.
Anda mungkin rasa anda sihat, tapi tak menjadi masalah besarpun untuk anda memakai penutup hidung dan mulut. Pakai sajalah mask tu bila keluar daripada rumah, tak kiralah untuk membeli barang keperluan, atau membawa keluarga bersiar-siar.
Pastikan ada hand sanitizer di dalam beg atau poket anda. Keluar masuk kereta atau turun naik kenderaan, pakailah. Nak masuk kedai, sapukan seluruh tangan. Benda 'common sense' sebagai normal baru.
Kita jaga sesama kita, saling ingat mengingati tentang normal baru. Kalau nampak orang berjalan di mall tak pakai mask, tegurlah secara baik. Kalau ada lebih, bagi pada mereka. Keselamatan mereka secara tak langsung adalah keselamatan kita juga.
Akan ada segelintir mereka yang ignorant, yang berasakan mereka sihat, yang tidak mahu pakai mask, yang degil dengan penjarakan sosial, yang bergaduh tak mahu diambil suhu dan sebagainya. Mereka inilah yang kita perlu bantu untuk faham betapa pentingnya normal baru kerana aku percaya sebahagian besar rakyat Malaysia mahu terus hidup.
Kalau rasa tidak mahu fikirkan tentang diri sendiri, fikirlah kepada orang yang kita sayang - ibu, ayah, suami, isteri, anak-anak, adik beradik, keluarga dan mereka yang ada di sekeliling kita.
Aku sangat bersyukur dengan pengumuman PKPP tetapi aku akan tetap sedar, selagi tidak ada vaksin, selagi itu kita belum menang, dan selagi kita belum menang, selagi itu kita wajib mengikuti normal-normal baru untuk meneruskan kehidupan.
Untuk yang bakal balik kampung nanti berjumpa keluarga tercinta, aku doakan semoga semuanya selamat sampai. Berhati-hati di jalan raya.
Jumpa lagi!
Bila Badrul Bicara
Kredit Gambar: Google / Instagram
Pandangan dan pendapat penulis adalah hasil karya asli penulis dan tidak mewakili serta tidak mencerminkan pandangan dan pendapat dari Gempak. Gempak tidak bertanggungjawab atas sebarang kesilapan atau kesalahan kandungan artikel ini.
Must-Watch Video