Namanya sudah cukup kukuh di dalam industri hiburan dan dia merupakan di antara remaja paling terkenal di dunia.

Pada usia hanya 20 tahun, Billie Eilish menjadi artis termuda yang memenangi semua kategori utama di Anugerah Grammy serta dinobatkan sebagai pemenang Oscar menerusi kategori Lagu Terbaik.

Terkini Billie mengumumkan bakal membuat penampilan sulung dan menghiburkan peminatnya di Malaysia pada 18 Ogos menerusi konsert “Billie Eilish Happier Than Ever, The World Tour 2022” dan memilih Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai lokasi.

Perkara itu telah dimaklumkan sendiri oleh pelantun lagu Bad Guy itu menerusi satu posting terbaru yang dimuatnaik di aplikasi Twitter miliknya pagi tadi.

Makluman tersebut secara terus menjadikan peminat di Malaysia teruja untuk menyaksikan persembahan penyanyi terkenal itu.

“Billie Eilish in Malaysia? OMG tak sabar weyh…

“You guys kena beli tiket sekarang sebelum habis.

“Billie Eilish datang Malaysia, I’m crying now.

“Wehhhh sumpahlah Billie Eilish buat konsert dekat Malaysia.” antara komen teruja wargamaya.

Menerusi kapsyen pendek, Billie turut menulis tiket akan mula dijual bermula 24 Jun dengan harga bermula serendah RM 308.

Selain Malaysia, penyanyi berusia 21 tahun itu dijangka membuat penampilannya di beberapa negara asia lain seperti Fillipina, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan Jepun.