BERITA

Bilik Bersepah Dipercayai Punca Rakan Serumah Maut Ditikam

Gempak 27/06/2025 | 10:25 MYT
Bilik bersepah dipercayai punca pergaduhan membabitkan dua rakan hingga menyebabkan seorang daripada mereka maut ditikam di sebuah rumah di Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kedua-dua mereka tiba bersama dari Kelantan sejak kira-kira enam bulan lalu sebelum kejadian terbabit.

"Siasatan awal polis mendapati berlaku pertengkaran antara mereka mengenai hal dalaman rumah berkaitan isu bilik bersepah.

"Dalam pergaduhan itu, mangsa berusia 33 tahun maut dengan kesan tikaman pisau oleh suspek berusia 40 tahun," katanya hari ini.

Katanya, saringan air kencing mendapati suspek positif dadah.

Suspek direman enam hari sehingga 1 Julai untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Harian Metro semalam melaporkan lelaki yang baru tiba dari Kelantan ke daerah ini ditemui maut dengan kesan tikaman di dada dipercayai akibat bergaduh dengan rakan serumahnya Kampung Kubu Gajah, Sungai Pelong, kelmarin.

Mohd Hafiz dilaporkan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 11.26 malam yang melaporkan pergaduhan di sebuah rumah yang menyebabkan mangsa ditikam.

Sumber: Harian Metro
#Bunuh #Maut #Bilik #Rakan #Tikam #Sungai Buloh #Bersepah