Tular video yang dikongsikan netizen di laman Twitter memperlihatkan sebahagian kecil pusat beli-belah Mid Valley, Kuala Lumpur mengalami kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi, api marak keluar dari pencawang tersebut dan orang ramai yang melalui Lebuh Raya Persekutuan yang terletak berhampiran pusat beli belah itu boleh nampak kejadian itu.

Rata-rata netizen terkejut melihat api marak keluar dari kawasan itu dan malah ada juga segelintir mereka yang berdepan masalah ketiadaan elektrik atau blackout yang difahamkan berpunca dari kebakaran itu.

“Pejabat blackout sebab Mid Valley terbakar!

“Wey kan Mid Valley terbakar sampai Gardens elektrik tak ada.

“Mid Valley terbakar, Nu Sentral blackout, haih,” komen beberapa netizen.

Menerusi laporan Utusan, sebuah bilik pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di pusat beli-belah tersebut terbakar.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur memaklumkan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai kebakaran itu dan usaha-usaha pemadaman giat dilakukan.