Bimbang Keselamatan Pekerja, Rizalman Ibrahim Tutup Syarikat, Full Lockdown Selama Dua Minggu

Azwa Rahman
Mei 18, 2021 23:50 MYT
Pereka fesyen terkenal Datuk Rizalman Ibrahim mengarahkan semua syarikat-syarikat miliknya melakukan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh ataupun full lockdown berkuatkuasa hari ini.
Tindakan itu diambil sebagai langkah keselamatan buat pekerjanya untuk membantu mengurangkan penularan jangkitan wabak COVID-19.
Menerusi laman sosial Instagram, Rizalman membuat pengumuman tersebut untuk tatapan umum.
“Berikutan penularan virus pandemik COVID-19 yang berleluasa pada masa ini, pihak pengurusan atasan Rizalman Ibrahim Group of Companies telah bersepakat melakukan penutupan dan penyekatan penuh untuk semua pekerja dan penjualan di bawah RIC Group Sdn Bhd walaupun pihak kami telah berdaftar dan mempunyai pengiktirafan Sijil MITI.
"Penutupan dan penyekatan ini akan mengambil masa sehingga dua minggu atau sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak,” tulisnya menerusi satu hantaran terbaru.
Bukan itu sahaja, penjualan beberapa produk secara dalam talian juga dihentikan buat sementara waktu sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Sementara itu di ruangan komen, arahan untuk melakukan full lockdown ini menerima pujian daripada wargamaya di mana rata-ratanya bersetuju dengan langkah tersebut.
Malah, ramai yang turut mengharapkan syarikat tempat mereka bekerja juga melakukan tindakan yang sama bagi menjaga keselamatan semua pekerja daripada dijangkiti virus berbahaya ini.
Ini contoh boss yang betul, terbaik datuk,” kata seorang wargamaya.
Terbaik! Company saya je masih beroperasi taknak tutup! Duit lagi penting daripada kesihatan,” luah seorang wargamaya.
Keputusan datuk memang bijak. Langsung tak mementingkan diri sendiri dan keuntungan. Alhamdulillah, moga ramai mencontohi datuk,” puji seorang wargamaya.
Bagus datuk. Nak tunggu kerajaan laksanakan full lockdown semua susah. Paham sektor ekonomi. Moga Allah permudahkan urusan datuk insya-allah. Terima kasih daripada kami frontliner,” komen seorang wargamaya.
Bila la company saya nak ikut jejak langkah company datuk? Sampai kiamat pun tak akan shutdown rasanya,” kata seorang wargamaya lagi.
Sehingga kini, perkongsian tersebut telah menerima hampir 34,000 tanda suka daripada pengikutnya.
#Rizalman Ibrahim #COVID-19 #PKP #Full lockdown