Sudah tiba masanya untuk untuk kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan sekatan pergerakan menyeluruh (total lockdown) secara bersasar bagi negeri bersempadan, titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Baginda bertitah, pendekatan itu perlu bagi menangani jumlah kes COVID-19 di negeri-negeri tanpa menghentikan kegiatan ekonomi negara secara keseluruhannya.

“Saya mencadangkan lockdown penuh secara bersasar mengikut negeri ataupun rantau. Contohnya, zon selatan Johor, Melaka dan Negeri Sembilan ‘full lockdown’ selama dua minggu, diikuti zon lain seperti di pantai timur (Pahang, Terengganu, Kelantan).

“Negeri yang tidak lockdown boleh meneruskan kegiatan ekonomi di bawah peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kawasan masing-masing,” titah baginda dalam kenyataan yang disiarkan di laman Facebook rasmi baginda pada Jumaat.

Sultan Johor juga bertitah semoga buah fikiran baginda akan dipertimbangkan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

“Sudah tidak terkata lagi kebimbangan dan ketakutan tentang situasi COVID-19 di negara kita. Saya mencadangkan perkara ini atas keprihatinan kepada nasib yang menimpa negara kita.

“Saya harap ia akan dipertimbangkan sebaiknya oleh kerajaan negeri dan kerajaan pusat,” titah baginda lagi.

Hari ini negara terus menyaksikan rekod baharu kes COVID-19, iaitu sebanyak 8,290 jangkitan baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam ciapan di Twitter petang Jumaat turut memaklumkan, Selangor terus kekal sebagai negeri tertinggi dengan 2,052 kes baharu.

Menurut beliau, negeri-negeri lain dengan kes tertinggi ialah Kelantan (851 kes), Kuala Lumpur (830 kes), Johor (762 kes) dan Sarawak (698 kes).