Kerana kesungguhan memperjuangkan pendidikan untuk kanak-kanak terpencil di negeri Sarawak, seorang guru daripada SK Luagan, Lawas telah berjaya memenangi RISE Educator Award dengan undian lebih daripada 10,000 yang diterimanya melalui laman Facebook Kolej Taylor’s dan seterusnya dianugerahkan RISE Educator of the Year 2021 hasil pilihan panel juri.

Muhammad Nazmi Rosli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Nazmi yang sebelum ini mengajar di SK Long Sukang selama empat tahun mendedahkan bahawa kanak-kanak di kawasan pedalaman di Sarawak seperti terasing daripada dunia luar di mana pekan terdekat terletak kira-kira empat jam melalui jalan kayu.



“Pada hari pertama saya di SK Long Sukang, saya mengajar mereka tentang urus niaga wang tetapi saya perasan yang kanak-kanak ini tidak pernah melihat mesin ATM. Mereka juga menghadapi kesukaran menulis karangan. Kadang-kala soalan peperiksaan meminta mereka menulis tentang hari pergi ke pantai atau menaiki kapal terbang, tetapi mereka tidak pernah merasai pengalaman tersebut.

“Selain itu, ramai yang tidak memberi banyak perhatian terhadapkanak-kanak ini. Orang berkata, saya tidak perlu bersusah payah. Mereka tidak akan ke mana-mana. Anda mengajar mereka hari ini, mereka akan lupa esok. Kenapa bersusah payah?” kata Cikgu Nazmi.

Melihat pelajarnya menghadapi diskriminasi, seperti mutan di dalam filem X Men, Cikgu Nazmi mendapat ilham mengajarnya daripada Profesor Charles Fransic Xavier (Profesor X).



“Di dalam komik X Men, Profesor X mengambil semua mutan dan melatihnya di Danger Room, di mana dia menggunakan simulasi holografik dunia luar. Saya melihat bahawa kanak-kanak ini menghadapi perkara yang sama kerana mereka terputus dari dunia dan oleh sebab itu, saya membawa dunia luar kepada mereka,” jelasnya lagi.

Malah lebih istimewa apabila seorang ibu pelajar, Jenny Bulan Gelawat mengembara selama tiga jam daripada Kampung Long Sukang untuk ke pekan terdekat semata-mata untuk mendapatkan talian internet bagi mencalonkan Cikgu Nazmi untuk anugerah ini.

Jenny turut berkongsi tentang kesungguhan Cikgu Nazmi di mana dia telah membuat simulasi dan membina pelbagai senario di dalam kelas dengan menggunakan bahan yang mudah didapati, seperti mendirikan kolam renang menggunakan 200 beg plastik, mesin cuci daripada kadbod dan kereta api daripada perabot.



Pelajar-pelajar di SK Long Sukang juga telah mencapai banyak kemajuan atas usaha dan semangat tidak putus asa Cikgu Nazmi. Daripada empat pelajar yang lulus kertas karangan ketika Cikgu Nazmi baru mula mengajar, SK Long Sukang kini menghasilkan di antara pelajar yang meraih mata tertinggi di daerah tersebut.

Kisah inspirasi Cikgu Nazmi ini merupakan salah satu daripada lima finalis akhir yang tersenarai di dalam RISE Educator Award 2021.



Mac lalu, kolej ternama, Kolej Taylor’s dengan kerjasama The Risers telah melancarkan anugerah RISE Educator Award untuk meraikan dan menghargai guru-guru yang telah banyak menyumbangkan jasa kepada setiap pelajar di Malaysia terutamanya ketika berdepan dengan situasi pandemik COVID-19.