Gaya Hidup
Bintang Terkemuka Hadiri Pertunjukan Terakhir Jean Paul Gaultier
Ratusan selebriti hadir pada pertunjukan fesyen terakhir pereka fesyen terkemuka Perancis, Jean Paul Gaultier di Paris, yang merupakan penutup kerjaya di pentas runway selepas 50 tahun, pada Khamis, lapor AWANI.
Gaultier mengejutkan peminat apabila mengumumkan pertunjukan tersebut merupakan' runway' terakhirnya.
Walaupun rumah fesyen Jean Paul Gaultier akan diteruskan di bawah konsep baharu yang belum diumumkan, pertunjukan ini menandakan persaraan rasmi pereka itu dari dunia fesyen.
Antara yang membuat kemunculan di acara itu adalah Dita Von Tesse, Karlie Kloss serta Gigi dan Bella Hadid.
Gaultier menggelarkan koleksi ini sebagai koleksi kitar semula haute couture dan menggalakkan penonton untuk mengitar semula pakaian mereka.
"Ini merupakan pertunjukan pertama dan terakhir, di mana terdapat hasil rekaan yang diperbuat menggunakan seluar jeans lama saya," katanya.
"Ia satu perkara yang paling indah. Seperti manusia, apabila semakin berusia, semakin cantik," katanya.
Hasil rekaan Gaultier, 67, sering menjadi pilihan ramai bintang popular antaranya Nicole Kidman, Cate Blanchett, Lady Gaga dan Rihanna.
Sumber : Astro AWANI