VIRAL

Bintang TikTok Mati Diracun Akibat Tolak Kahwin Paksa

Gempak 28/07/2025 | 16:55 MYT

Seorang pencipta kandungan TikTok, Sumeera Rajput ditemui mati dalam keadaan mencurigakan di kediamannya di kawasan Bago Wah, daerah Ghotki.

Penemuannya sekali gus mencetuskan kemarahan umum apabila timbul dakwaan berkaitan perkahwinan paksa dan mati diracun.

Menurut laporan Geo News, Pegawai Polis Daerah Ghotki, Anwar Shaikh mengesahkan bahawa anak perempuan mangsa yang berusia 15 tahun mendakwa ibunya diracun oleh individu yang sudah lama mendesak supaya mangsa berkahwin secara paksa.

Difahamkan, Rajput diberi pil beracun yang akhirnya meragut nyawanya.

Bagaimanapun, tiada laporan polis (FIR) didaftarkan setakat ini, dan siasatan masih dijalankan untuk menentukan sama ada terdapat unsur jenayah.

Dua individu telah ditahan, namun motif kejadian masih belum disahkan.

Kes itu turut menimbulkan kebimbangan terhadap sikap acuh tak acuh pihak berkuasa dalam melindungi hak wanita, terutamanya pencipta kandungan wanita di Pakistan.

Rajput yang memiliki lebih 58,000 pengikut di TikTok dan mencatat lebih sejuta tanda suka, menjadi mangsa terbaharu dalam siri serangan kejam terhadap wanita berpengaruh di negara itu.

Bulan lalu, seorang lagi bintang TikTok, Sana Yousaf, 17, ditembak mati di kediamannya di Islamabad.

Suspek utama, Umar Hayat, telah ditahan, namun insiden itu menunjukkan pola berterusan keganasan terhadap wanita yang bersuara di ruang awam.

Kegagalan pihak berkuasa untuk menangani isu gangguan digital, perkahwinan paksa dan pembunuhan berasaskan jantina terus mencerminkan kemerosotan hak asasi di Pakistan.

Kematian Rajput dan Yousaf bukan sekadar tragedi terpencil, tetapi menggambarkan realiti getir wanita di negara itu yang terus bergelut menuntut keadilan.

Sumber: Sinar Harian

#Racun #Kahwin Paksa #Bintang TikTok