Hiburan
Black Kembali Kepada Balada Melayu
Penyanyi terkenal, Black Hanifah menjadi antara figura yang memiliki keunikan dan kualiti vokal tersendiri.
Kejayaan yang dikecapi Black selepas menjuarai pertandingan Mentor musim ketiga termasuk dalam beberapa siri Anugerah Juara Lagu meletakkan dia di kelas tersendiri.
Bagilah apa saja jenis lagu, Black tidak pernah gagal mencuri perhatian peminat muzik. Malah, pujian wajar diberikan atas setiap usaha dan peningkatan ditunjukkan dalam kerjaya nyanyian beliau.
Selepas sekian lama tidak muncul dengan lagu 'makanan' seperti kebanyakan single terdahulu ketika di awal kemunculan, terbaharu Black atau nama sebenarnya Hanifah Md Hanafiah bakal melancarkan lagu ‘Sabar’ pada 24 Julai ini.
Lagu berentak balada Melayu ini yang merupakan ciptaan sepenuhnya Black mengembalikan beliau kepada identiti muzik asal.
Menariknya, lagu itu sudah disimpan sejak empat tahun lalu dan baru kali ini Black mempunyai keyakinan untuk melancarkan lagu itu sekali gus mengembalikan identiti muzik dan kegemilangan kerjaya nyanyiannya.
"Lagu ini 100 peratus hasil ciptaan saya. Sepanjang 12 tahun dalam industri, saya curahkan semua perasaan dalam lagu ini yang mana sudah disimpan selama empat tahun.
"Alasannya, ketika itu saya tidak yakin dengan diri untuk menghasilkan lagu sendiri. Namun, sepanjang tempoh itu saya ada memperdengarkan lagu ini kepada rakan penyanyi lain. Maklumbalas diberikan, mereka cakap kenapa saya tidak rakamkan lagu ini.
"Apabila lagu ini siap sepenuhnya dan dengar semula, mereka siap boleh hafal lagi. Itu menambahkan lagi keyakinan saya untuk mengeluarkan lagu ini. Malah, rakan bukan dalam industri pun suka dan jatuh cinta dengan lagu ini," katanya.
Black yang pernah menjadi vokalis kumpulan Meet Uncle Hussain pada 2009 mengakui ‘Sabar' adalah lagu yang cukup kena dengan jiwanya.
"Apa yang boleh saya katakan ialah lagu Sabar ini sangat lain dari lagu-lagu yang dihasilkan beberapa tahun sebelum ini. Ia lagu balada yang memang kena dengan jiwa saya. Kalau nyanyi pun memang 'feel' sepenuhnya.
"Dalam erti kata lain, lagu ini sebenarnya mengembalikan zaman saya mula-mula dulu. Kiranya kalau orang dengar lagu ini, orang sudah tahu ini adalah muzik dan identiti saya. Sewaktu proses rakaman pun semuanya mudah dan cepat saja sebab saya sudah faham melodi, lenggok dan lirik," katanya.
Single ‘Sabar’ terbitan dan edaran Nova Music Malaysia dilancarkan di semua platform digital muzik seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox dan Deezer pada 24 Julai 2020.
Serentak dengan itu, video muzik lirik ‘Sabar’ juga boleh ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos pada hari yang sama.
Must-Watch Video