Hiburan

Blues Gang Buat Konsert 5 Dekad Ulangtahun, Tak Sabar Nak Dengar Oh Mak Siti Secara Live

gempak
Maliah Surip
20/05/2024
02:20 MYT
Sponsor Banner
Blues Gang Buat Konsert 5 Dekad Ulangtahun, Tak Sabar Nak Dengar Oh Mak Siti Secara Live
Selepas 50 tahun, Blues Gang akhirnya muncul solo dalam persembahan berskala besar pada malam eksklusif konsert Blues Gang Apo Nak Dikato yang dijadual berlangsung pada 9 Ogos nanti.
Utuh memperjuangkan genre blues dan rock sepanjang lima dekad penubuhan mereka, band legenda yang dikenali dengan karya kritis dan berjiwa rakyat itu memilih pentas berprestij Zepp Kuala Lumpur bagi melakar momen bersejarah pada malam anjuran AV Group itu.

Blues Gang Apo Nak Dikato

Penyanyinya, Ito Mohd, berkata konsert ini dianggap sebagai cerminan perjalanan lima dekad Blues Gang pada persembahan yang dinamakan bersempena judul malar segar mereka, Apo Nak Dikato yang dirilis 40 tahun lalu.
“Secara solo, di pentas sebesar ini, konsert Blues Gang Apo Nak Dikato adalah yang pertama selepas 50 tahun. Kali terakhir muncul dalam konsert berskala besar ialah pada Konsert 2 Raksaksa Reunion pada 2011, tapi bersama Sweet Charity.
“Ini bukan saja eksklusif Blues Gang, malah boleh dianggap rare selepas 14 album kami. Saya sendiri, secara solo pun memiliki 20 album. Justeru ini cara terbaik untuk meraikan kembara lima dekad Blues Gang, terutama oleh peminat dan penggemar blues.
“Kenapa Blues Gang Apo Nak Dikato sebagai judul konsert istimewa ini? Ini tidak lain sebagai tribute karya dalam loghat Negeri Sembilan ‘paling power’ kami sepanjang 40 tahun ini,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah Urusan AV Group, Zool Azri Abu Bakar.
Tinggal bertiga, turut meneruskan perjuangan Blues Gang ialah Julian Mokhtar sebagai pemain gitar utama dan Ghani Dato Abu Talib (gitar kedua/ keyboard), selain Ito atau nama sebenarnya, Mohd Arif Kendut. Pemain bass dan vokal, Jim Madasamy telah meninggal dunia pada 2018 sebelum Shaik Karim (dram/ vokal) menyusul Julai tahun lalu.

BERITA TRENDING: Pemain Dram Blues Gang Meninggal Dunia Selepas 4 Hari Koma Akibat Terjatuh

Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato juga menyaksikan Belbis mengendalikan Produksi, manakala Mewah Event Management (MEM) dan Ito Cottage Muzik sebagai rakan strategik, selain Ilassotickets bagi pengurusan tiket. Konsert ini juga mendapat sokongan Penajaan dari PBH Music & BLW sebagai rakan teknikal dan cenderahati kepada peminat

Blues Gang tak pernah bubar

Menurut Ito, konsert pada Ogos itu juga bagi memperbetulkan prasangka bahawa Blues Gang hanya tinggal nama.

“Blues Gang tidak pernah bubar walaupun kehilangan beberapa ahli diakui meninggalkan kesan mendalam buat kami. Konsert ini juga bagi menghidupkan kembali kenangan bersama, selain bertepatan dengan kelahiran single, Bincang Adik Beradik yang akan dilancarkan nanti,” katanya, menyusul single Panglima Awang Hitam, sebelum ini.

Juga dikenali dengan lagu seperti Khatulistiwa, Oh! Mama Saya Mahu Kahwin, Cinta Oh Cinta dan Mak Siti, band yang diperkenalkan pada 1979 itu menerusi album Inggeris, Anytime, Anyday, dijangka memperdengarkan semua hits mereka dalam konsert selama hampir dua jam itu.

PILIHAN PEMBACA: Tampil 3 Lagu Baru, Blues Gang Masih Boleh 'Cari Makan'

Zool Azri berkata, sesuai cerminan perjuangan Blues Gang yang sampai hari ini terus dikagumi kerana keutuhan identiti yang dibawa selama 50 tahun ini, satu segmen khas Melayu akan diselitkan pada malam berkenaan.
“Selain puluhan hits Blues Gang seawal 70an, segmen khas Melayu pula akan menyaksikan bagaimana alunan blues dan rock menyatu dengan Dikir Barat yang akan menampilkan Issey Gegar FM & Mat Ropi & Friends, pemuda berbangsa Cina, Adik Axiang yang akan meniup serunai Melayu serta Julie Razak atau Juliey Ratu Gendang akan bermain gendang.
“Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato tidak lain adalah sebagai penghormatan kepada band selegenda Blues Gang yang masih utuh dengan perjuangan, memikat penggemar daripada pelbagai bangsa dan lapisan masyarakat, tanpa mengira umur,” katanya.
Peluang bekerjasama dengan band selegenda Blues Gang, akui Zool Azri lagi ibarat pucuk dicita ulam mendatang selepas sekian lama menyimpan kekaguman terhadap seniman seperti mereka.
“Ini julung-julung kalinya juga Blues Gang muncul solo pada skala sebegini, di pentas berprestij seperti Zepp Kuala Lumpur. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk melakar momen indah bersama Blues Gang pada konsert Blues Gang Apo Nak Dikato,” tambahnya.
Selain persembahan istimewa, pelbagai hadiah serta cenderahati esklusif akan di hadiahkan kepada penonton bertuah pada konsert itu nanti.
Peminat juga boleh mendapatkan tiket-tiket konsert ini menggunakan aplikasi ATOME di ilasso tickets yang memberi pilihan bayaran ansuran kepada pembeli.
Sebagai makluman, semua ketagori tiket adalah duduk demi keselesaan semua peminat yang hadir.
Tiket berharga RM198 (Silver), RM268 (Gold), RM398 (Platinum) dan RM338 (Diamond), selain RM5,099 bagi Royal Box boleh didapatkan dengan melayari http://ilassotickets.com atau hubungi hotline +60 11-1329 7822.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live