ANTARABANGSA
BMW X5 xDrive45e M Sport Versi CKD Dijual Bermula RM440,745
BMW Malaysia menambah ahli BMW X baharu menerusi BMW X5 xDrive45e M Sport, sebuah model gabungan rangkaian kuasa elektrik terkini yang dipasang secara domestik.
SAV baharu itu menampilkan pembaharuan dalam iras kelasakannya yang ikonik, termasuk lampu hadapan Adaptive LED yang langsing dengan BMW Selective Beam, serta lampu kabus LED, selain dilengkapi komponen signatur gril ‘kidney’.

BMW X5 xDrive45e M Sport dikuasakan enjin enam silinder berkapasiti 3.0 liter yang lengkap dengan teknologi BMW eDrive dengan menyalurkan 394hp dan tork 600 Nm. Ia mampu memecut sehingga 235 km/j.

Di samping itu, SAV ini menggunakan paras bahan api yang rendah, iaitu 2.5 l/100km serta emisi karbon bertahap rendah pada paras 56 g/km. Enjin itu juga dilengkapkan oleh transmisi lapan kelajuan dengan kuasanya disalurkan ke sistem pacuan semua roda xDrive.

Kapasiti but SAV baharu ini dapat ditingkatkan dengan mudah dari 500 liter menjadi 1,720 liter, selain pintu belakang automatik dengan fungsi pembukaan dan penutupan tanpa sentuhan.

Penumpang di tempat duduk belakang juga dapat menikmati “Rear Seat Entertainment Professional” dengan monitor sesentuh bersaiz 10.2 inci. Fungsi pengecasan tanpa wayar turut ditawarkan sebagai kemudahan tambahan ketika memandu.

Di samping itu, ia dilengkapi Parking Assistant Plus dengan Kamera Pandangan Keliling, berserta dengan Bantuan Mengundur yang menawarkan fungsi bantuan yang mengagumkan ketika mengolah masuk dan keluar dari ruang parkir serta mengundur masuk ke ruang sempit.

Tawaran warna bagi jentera BMW X5 xDrive45e M Sport merangkumi Phytonic Blue, Black Sapphire, Mineral White dan Artic Grey. Warna-warna berkenaan boleh digandingkan dengan upholsteri istimewa bermaterialkan kulit Vernasca dalam warna hitam dan trim kayu halus, ‘Fineline Stripe’ dengan warna perang.

Harga jualan ialah RM440,745 atas jalan, tanpa insurans, dan dengan penawaran BMW Group Malaysia bagi Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 5 Tahun, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Waranti Tayar BMW.
Must-Watch Video