Masih dirinya terkesan apabila melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu, Bob Yusof, 40 tahun, mengakui apa yang sudah dilaluinya merupakan pengalaman dan pelajaran paling berharga sepanjang bergelar anak seni.

Meskipun perit melaluinya, Bob bagaimanapun bersyukur kerana dapat melalui perkara tersebut dengan hati terbuka meskipun ada kalanya ‘sesak’ untuk mencari pendapatan dalam fasa berkenaan.

"Saya percaya ramai yang terkesan dengan apa sudah dilalui. Ada yang hilang pekerjaan, mengalami tekanan perasaan dan ada juga rumah tangga bergoncang kerana hilang pendapatan dan sebagainya.

"Tapi saya bersyukur kerana dapat melalui fasa getir berkenaan dan tidak terperangkap dengan emosi sendiri. Harapnya dengan keadaan semasa yang semakin baik sekarang, semua orang mampu membina semula kehidupan yang lebih baik," kata Bob.

Paling diingati apabila dia tidak dapat pulang beraya di kampung halamannya di Limbang, Sarawak sejak dua tahun yang lalu. Baginya itu merupakan pengalaman tidak mungkin dilupakan sepanjang hidupnya.

Apa yang menyentuh hatinya apabila tidak dapat menziarahi pusara ibunya dalam tempoh berkenaan.

“Baru-baru ini saya ada pulang ke kampung di Limbang tapi masih tidak dapat ke pusara ibu memandangkan belum dibenarkan menziarahi kerana kawasan tersebut menjadi pusara untuk mangsa Covid-19.

"Saya memang sedih tapi reda dengan keadaan tersebut. Tak apalah, saya kirimkan sahaja doa bagi mengubat kerinduan yang tak berpenghujung," kata Bob lagi.

Mengubat segala kedukaan yang telah dilalui sebelum ini, Bob kini tampil dengan lagu Beribu Rasa yang sudah mula menemui pendengar. Lagu yang sudah berada di semua platform digital dan video muzik (MV) boleh ditonton mulai 3 Disember lalu di YouTube Bob Yusof Channel.

Lagu yang dicipta oleh Ajai dan lirik oleh Slen Fadzil itu merupakan simbolik kepada dirinya yang berjaya melepasi segala kekalutan setelah mengharungi tempoh sukar sebelum ini.

"Kita tak boleh bersedih dan kena bangkit daripada segala masalah. Saya anggap dengan terhasilnya lagu Beribu Rasa ini akan mengubat rindu peminat dan dalam masa yang sama menjadi semangat kepada saya untuk terus maju dalam bidang seni.

"Sebenarnya tema yang dipilih juga kena dengan situasi semasa. Ada segelintir lelaki putus cinta dan ditinggal kekasih tapi masih juga mahukan orang yang sama. Itu yang diangkat dalam lagu ini," katanya.

Untuk rekod, Beribu Rasa adalah terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) dan lagu ini diedarkan oleh Univesal Music.