Kumpulan remaja yang pernah mencetuskan fenomena pada awal era 2000, Boboy kembali disatukan selepas 20 tahun menyepi demi mengubati kerinduan dan penantian peminat mereka.

Projek penyatuan semula (reunion) kumpulan yang popular dengan lagu ‘Episod Cinta’ (2001) itu menjadi kenyataan akhirnya susulan kejayaan vokalisnya, Naqiu yang bergiat aktif secara solo selepas bergelar Juara Gegar Vaganza (GV) 6 pada 2019.

Menurut Naqiu, impian untuk disatukan dengan Boboy didorong oleh permintaan yang tinggi daripada para peminat sejak penyertaannya dalam GV6. Berikutan perbincangan dan perancangan yang rapi dengan pihak pengurusan, MindOrder Management Sdn Bhd, hasrat itu direalisasikan pada tahun ini selepas mendapat kesepakatan dengan tiga lagi anggota asal Boboy.

"Saya bersyukur projek ‘reunion’ dengan abang-abang saya ini menjadi kenyataan akhirnya. Pada mulanya, saya mensasarkan untuk ‘reunion’ pada hujung 2021 tapi ia terpaksa ditangguhkan kerana komitmen jadual saya yang padat ketika itu.

"Apabila buka saja tahun baharu, kami berbincang semula. Alhamdulillah, semua urusan dipermudahkan dan projek ‘reunion’ ini pun bermula sejak April lalu. Kami giat memperkemaskan skil bermain muzik, mengkaji dan menimba ilmu baru trend muzik dan berlatih secara konsisten. Proses ‘reunion’ ini lancar kerana hubungan kami memang akrab dan baik walaupun 20 tahun tidak aktif sebagai artis profesional.

"Cuma, sebelum saya muncul secara solo tiga tahun lalu, kami kurang yakin untuk aktif semula sebagai band. Namun, permintaan yang berterusan itu membakar semangat kami. Lebih manis lagi, ‘reunion’ ini membabitkan kesemua anggota asal Boboy," katanya.

Selain Naqiu atau nama sebenarnya Wan Naqiuddin Mohd Najib, 36 (vokalis), Boboy turut dianggotai oleh Shah (Shah Azrizal Kamaruzaman, 38) di posisi gitar utama, Didi (Mohd Addinan Azmi, 38) bermain bass dan Dzul (Dzulhamdi Badrom, 38) bermain dram.

Susulan ‘reunion’ ini, Boboy terus mengorak langkah dengan melancarkan lagu terbaharu berjudul ‘Tetap Bersama’ di semua platform penstriman digital bermula 22 Julai 2022. Lagu ciptaan Naqiu dan lirik Wit & Mohsen ini adalah strategi kedua di bawah pelan projek ‘reunion’ mereka.



Terdahulu, kumpulan ini muncul buat julung kali di khalayak umum selepas dua dekad menerusi program ‘Konsert Minggu Ini’ yang disiarkan pada 14 Mei lalu.

Mengulas mengenai lagu terbaharu Boboy selepas dua dekad, Naqiu selaku ketua kumpulan berkata, lagu ‘pop leleh’ itu adalah hadiah bagi mengubati kerinduan dan penantian para peminat selama ini.

"Lagu ‘Tetap Bersama’ ini diterbitkan dengan mengekalkan elemen atau signatur lagu-lagu lama kami. Secara tak langsung, lagu ini dekat dan relevan dengan peminat. Kami tidak mahu identiti dan memori yang melekat tentang jenama dan perjuangan Boboy berubah hanya kerana kami mahu mencuba sesuatu yang baru untuk projek ‘reunion’.

"Kami mahu peminat masih dapat mengaitkan lagu ini dengan lagu-lagu Boboy yang pernah mereka kenal 20 tahun dulu. Cuma, susunan dan penerbitannya saja lebih matang dan moden, seiring dengan perubahan masa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan juga Ketua Pengurusan Artis, MindOrder Management Sdn Bhd, Wahi Aziz berkata, projek ‘reunion’ Boboy dilaksanakan bersesuaian dengan momentum semasa industri muzik tempatan.

"Perancangan (reunion) ini adalah permintaan Naqiu dan anggota lain kepada kami selepas kejayaan Naqiu secara solo sejak tiga tahun lalu. Selepas pencapaian di GV6, kami mahu Naqiu mengukuhkan jenama dan kerjaya solonya terlebih dahulu dan sampai ke satu tahap, ‘reunion’ bersama Boboy pula menyusul.

"Pada waktu yang sama, kami turut dihujani pertanyaan dan permintaan yang berterusan daripada peminat dan rakan-rakan niaga kami mengenai ‘reunion’ Boboy. Tambahan pula, trend lagu ‘pop leleh’ era 1990 dan 2000 kembali hidup, malah semakin rancak dan diterima baik pula oleh generasi peminat hari ini. Maka, pelaksanaan ‘reunion’ Boboy ini adalah bertepatan pada waktunya," katanya.

Sebelum berehat panjang, Boboy sempat menghasilkan tujuh album dengan deretan lagu popular lain antaranya Demi Masa, Janji Seorang Kekasih, Cinta Melayang-Layang, Dalam Benci Ada Rindu dan Berakhirnya Episod Cinta.

Kumpulan itu juga pernah tersenarai mencatatkan jualan album terlaris melebihi 80 ribu unit ini dan membintangi dua filem, Semarak Naga dan Boboy The Movie.

Sebagai nota tambahan, Naqiu mendirikan rumah tangga dengan Hanisah Zuhari pada 2011 dan kini mempunyai lima cahaya mata. Shah pula berkahwin dengan Noor Nadia dan memiliki sepasang cahaya mata, manakala Dzul berstatus duda dan membesarkan seorang anak. Perkahwinan Didi bersama Dayana Ahmad pula dikurniakan dua zuriat lelaki.