Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Boleh Atau Tidak Gugurkan ‘Bin’ Atau ‘Binti’ Daripada Kad Pengenalan? Ini 3 Fakta Yang Anda Perlu Tahu Sebelum Hadir Ke JPN

Izwan Isa
21/07/2023 08:50 MYT
Umum mengetahui setiap individu beragama Islam yang telah melahirkan anak pasti memasukkan Bin dan Binti ke nama anak-anak mereka.

Hal ini sudah menjadi kebiasaan memandangkan Bin dan Binti memberi makna anak lelaki anak perempuan kepada si bapa.

Namun, ada segelintir ibu bapa yang tidak meletakkan Bin atau Binti pada nama anak-anak, dan hal ini sudah pasti menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

Boleh pilih untuk tidak letak Bin atau Binti

Memetik portal Ask Legal, satu kenyataan daripada Kementerian Dalam Negeri memaklumkan bahawa perkataan A/L dan A/P dalam nama adalah perkara biasa yang dilakukan oleh pasangan ibu bapa berbangsa India.

Namun, ia bukanlah satu hal yang wajib. Justeru, ibu bapa yang berbangsa India boleh memilih untuk meletakkan atau tidak A/L atau A/P dalam nama anak mereka. Disebabkan perkara itu telah menjadi kebiasaan sejak sekian lama, pihak Pejabat Pendaftaran Negara akan mendapatkan pengesahan dahulu daripada ibu bapa sama ada mereka mahu gunakan A/L, A/P atau tidak.

Begitu juga kepada pasangan ibu bapa Melayu beragama Islam. Ibu bapa boleh menggugurkan perkataan Bin atau Binti pada sijil kelahiran anak mereka. Namun, ia tidaklah berlaku secara automatik, sebabnya masih ada proses untuk memilih.

Apabila seseorang kanak-kanak Islam dilahirkan, ibu bapa akan diberikan draf sijil kelahiran untuk diisi. Pada kebiasaan, anak tu nanti akan mendapat bin atau binti dalam sijil. Untuk menggugurkan perkataan tersebut, ibu bapa perlu membuat permohonan dengan pendaftar, sekiranya mereka ada sebab yang munasabah untuk berbuat demikian.

Apa sebab yang munasabah?

Menurut JPN, permintaan menggugurkan perkataan Bin dan Binti selalunya dilakukan oleh mereka yang ingin berhijrah ke luar negara. Hal ini kerana, sistem penamaan di negara-negara bukan Islam selalunya menggunakan nama keluarga dan bukannya nama bapa mereka.

Selain itu, perkahwinan campur antara seorang wanita Muslim dan seorang mualaf turut menyumbang kepada sebab untuk tidak menggunakan Bin atau Binti. Jika mualaf berkenaan memilih untuk menggunakan namanya, ibu bapa mungkin akan memilih untuk anak mereka mempunyai nama keluarga si bapa.

Apa hukum buang Bin dan Binti dari segi syarak? Ini jawapan Pejabat Mufti

Sungguhpun membuang Bin dan Binti sah di sisi undang-undang, namun, penggunaannya amat penting dari segi syarak.

Dikira sebahagian daripada ʻuruf (adat setempat), sudah menjadi norma masyarakat Malaysia muslim untuk meletakkan ‘bin’ dan ‘binti’ pada nama anak. Bagi menjaga sistem sosial masyarakat, nasab dan keturunan merupakan perkara yang perlu dipelihara terutama dalam konteks Islam.

Mengelirukan susur galur keturunan, amalan ini juga boleh menimbulkan fitnah dan masalah dalam pembahagian harta pusaka kelak. Amalan ini juga dikhuatiri bakal disalah guna oleh individu yang tidak bertanggungjawab terutama mereka yang mempunyai niat jahat.

“Sebagai contoh, tanpa Bin atau Binti seseorang mampu membuat helah untuk menyembunyikan status anak angkatnya.

“Sedangkan sebagai seorang Muslim, wajib menisbahkan anak angkat itu kepada bapa kandungnya.

“Islam begitu menjaga nasab dan keturunan kerana ia merupakan salah satu daripada maqasid syariah yang lima,” katanya.

Bagaimana caranya untuk gugurkan Bin dan Binti daripada nama?

Jika masih ada yang ingin gugurkan perkataan Bin, Binti, A/L atau A/P daripada MyKad atau MyKid anak, ini dia cara-caranya:

Dapatkan surat sumpah. Hadir ke pesuruhjaya sumpah untuk membuat pengisytiharan yang anda mahu Bin atau Binti digugurkan daripada nama sendiri atau nama anak. Anda diminta untuk isi borang dan ia akan ditandatangani oleh pesuruhjaya.

Pergi ke JPN. Anda boleh hadir ke mana-mana cawangan JPN terdekat dan beritahu yang anda ingin buat Permohonan Pindaan Butiran Kad Pengenalan.

Isi borang. Anda juga akan diberikan borang KP.16. Borang ini perlu diisi dan perlu disertakan sekali dokumen-dokumen sokongan seperti surat sumpah tadi. Anda juga perlu membawa sijil kelahiran, MyKad dan jika permemohon dilakukan untuk anak, bawa MyKad ibu bapa sekali.

Jelaskan sebab. Anda perlu memberi sebab munasabah mengapa anda mahu membuat permohonan sedemikian.

Sumber: AskLegal, MalayMail, Malaysia Dateline, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

BACA: Hanya Sempat Bergelar Isteri Selama 18 Hari, Wanita Ini Ambil Kad Nikah Dengan Ibu Mentua Tanpa Suami Di Sisi

BACA: Krisdayanti Tukar Nama, Mahu Guna Nama Seperti Dalam Kad Pengenalan

#kad pengenalan #Gugurkan Bin Binti
;