“Boleh Jadi Aset & Pelaburan Masa Depan” - Noryn Aziz Nasihat Wanita Untuk Miliki Barangan Kemas Tulen Bukan Tiruan
20/02/2023 12:00 MYT
Penyanyi Noryn Aziz mempunyai pandangan tersendiri mengenai sesetengah wanita yang memilih untuk memiliki barangan kemas tiruan berbanding yang tulen.
Kata Noryn, 48, tidak salah untuk memiliki yang tiruan, namun nasihatnya kepada wanita yang mempunyai kerjaya lebih elok memiliki barangan kemas yang tulen.
Wanita bekerja elok miliki tulen
“Sebagai seorang wanita, tidak menafikan bahawa barang kemas adalah antara yang menjadi kegilaan kaum hawa.
“Kerana barang kemas boleh dijadikan sebagai aset dan pelaburan untuk masa depan.
“Pun begitu bergantung kepada individu itu untuk memiliki barangan kemas sama ada tiruan atau tulen, saya tidak berhak nak menghalang.
“Tetapi, nasihat saya kepada wanita yang ada kerjaya, anda tahu ada perkara yang perlu buat ada rasa dihargai dan dibanggakan.
“Bila dah penat bekerja, mengapa tidak anda hiburkan hati dengan membeli yang tulen berbanding tiruan. Sebab lagi puas hati,” katanya kepada Gempak.
Noryn berkata demikian usai dia melakukan persembahan pada majlis pelancaran barangan perhiasan jenama mewah, Korloff bersama HABIB yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
Korloff Paris kini di Malaysia
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan HABIB, Datuk Sri Meer Habib berkata pihaknya amat berbangga dapat membawa masuk jenama barangan mewah berasal dari Paris itu ke negara ini.
“Pihak kami sangat teruja dapat bawa masuk jenama barangan kemas daripada Paris iaitu Korloff ke Malaysia.
“Tujuan kami bawa masuk adalah untuk memberi pilihan yang lebih lagi kepada pelanggan HABIB. Meskipun sudah ada banyak pilihan jenama bersama HABIB sebelum, namun ini adalah pilihan yang baru untuk pelanggan.
“Bukan sahaja barangan kemas, tetapi Karloff juga mempunyai jam tangan dan minyak wangi yang disediakan. Rekaan jenama Korloff juga mempunyai kelainan dan design tersendiri,” ujarnya.
Korloff berlian 88-carat
Tersohor dengan berlian 88-carat potongan brilliant yang dihasilkan daripada sebutir berlian hitam misteri seberat 200-carat, jenama yang juga dikenali sebagai La Maison Korloff menampilkan pelbagai koleksi mewah yang boleh didapati secara eksklusif di HABIB KLCC.
Tidak hanya menawarkan barangan kemas yang memukau, malah seleksi jam tangan lelaki dan wanita, wangian mewah serta aksesori fesyen seperti pen dan cufflinks turut ditawarkan bagi memenuhi gaya masyarakat moden hari ini.