Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
LAMAN UTAMA

Boleh Ke Makan Kulit Ayam? Boleh Makan Tapi...

Izwan Isa 20/10/2023 | 11:20 MYT

Sebut sahaja kulit ayam, pasti ramai dalam kalangan anda gemar makan makanan ringan yang digoreng rangup seperti ini. Nak-nak bila kudapan ringan ini dimakan sambil menonton drama atau filem kegemaran.

Cuba bayangkan bahagian kulit ayam yang ranggup dan digigit ketika masih panas… Fuh! Memang sedaplah jawabnya.

Bagaimanapun anda tidak disarankan untuk makan berlebihan kerana kulit ayam mempunyai lemak tepu yang tinggi okay.

Malah Facebook rasmi Public Health Malaysia juga turut berkongsi tentang bahayanya kulit ayam ini sebenarnya.

Antara risiko utama masalah kesihatan yang bakal dihadapi sekiranya pengambilan berlebihan adalah:

1. Kenaikan berat badan

Kulit ayam memang diketahui mempunyai banyak kolesterol. Setiap 100 gram kulit ayam mengandungi sekitar 435 kcal. Bila kulit ayam digoreng sudah pasti kandungan lemak dan kolestrolnya juga akan meningkat.

2. Darah tinggi dan Penyakit jantung

Lemak tepu itu adalah lemak yang likat dan jika masuk ke dalam badan agak sukar untuk diuraikan menjadi zat. Secara tidak langsung lemak tepu itu akan berkumpul di dinding-dinding salur darah yang menyebabkan penyumbatan menjadikan risiko lebih tinggi untuk menghidapi serangan jantung, darah tinggi, strok dan lain-lain lagi. Dalam pada itu, Bahagian Pemakanan Kementerian Kesihatan Malaysia (Nutritionistkkm) juga menasihatkan orang ramai untuk lebih bijak membuat pemilihan makanan seharian.

“Setiap makanan dari sumber semulajadi mengandungi kandungan nutrien tertentu yang diperlukan badan termasuklah lemak.

“Lemak juga diperlukan dalam fungsi sistem badan seperti penghasilan hormon dan pengawalaturan suhu badan.

“Tapi... Bergantung kepada cara pengambilan makanan harian kita. Yang sedia ada pun dah meriah dengan makanan tinggi lemak, berminyak, bersantan, berkolesterol, makanan terproses, berkalori tinggi.

“Dengan budaya kita lagi yang makan banyak, makan kerap, makan sedap! Makan tidak ikut waktu. Bijaklah buat pilihan, badan sendiri, penyakit pun sendiri,” kongsi Facebook rasmi Nutritionistkkm. #Foodieslife juga ingin mengingatkan kepada semua pembaca kesayangan, dalam apa juga makanan atau pun minuman yang dimakan, bersederhanalah.

Sedap memang sedap tapi kita juga perlukan badan yang sihat kan?

Kredit foto: Sihat Malaysia / Rasa

#Kulit Ayam