“Boleh Nak Pakai Skirt Labuh Asalkan...” - Tokti Jelas Isu Pakaian Berbasikal, Yang Penting Selamat

Azwa Rahman
Ogos 10, 2020 07:29 MYT
Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza lebih memikirkan soal keselamatan dan kesesuaian dalam berpakaian ketika menjalani aktiviti menunggang basikal.
Menurut Siti atau lebih mesra disapa Tokti, keselamatan harus diutamakan kerana sebarang kesilapan dalam berpakaian boleh menyebabkan kecederaan.
“Berbasikal ni, kita kena fikirkan soal keselamatan terlebih dahulu. Pakaian yang sesuai, itu lebih selamat.
“Kalau kita nak pakai skirt labuh sampai lutut, nanti hujung skirt tu masuk dalam roda, kita jatuh, itukan dah menyebabkan kecederaan.
“Apa-apa pun pakaian yang kita pakai selagi ia bertudung dan menutup aurat, yang penting selamat.
“Memang sekarang dah banyak stail dan gaya wanita muslimah berbasikal jadi kita ambil je lah mana yang bersesuaian dengan kita,” jelas Tokti kepada Gempak.
Tokti ditemui ketika majlis pelancaran pusat kecantikan dan kesihatan Beauty & Co yang membuka cawangan terbarunya di The Gardens Mall, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pada majlis itu, Tokti membuat dua persembahan istimewa disamping berkongsi pengalamannya menjalani beberapa rawatan kecantikan dan kesihatan di pusat tersebut.
Gemarkan aktiviti berbasikal bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa serta rakan-rakan, Tokti juga pernah berdepan situasi getir gara-gara kasut sukannya.
“Masa awal-awal naik basikal dulu, pernah terjadi pada saya bila tengah berbasikal dan mujur tak laju, tali kasut termasuk di celahan roda dan terus melekat.
“Dari situ saya tahu betapa pentingnya isu keselamatan bila berbasikal. Bila naik basikal, turun bukit laju, tali kasut pun kadang saya sorok dalam kasut sebab takut tali termasuk dalam roda.
“Dari segi pakaian pula, boleh nak pakai skirt tapi pastikan ia tidak terlalu panjang,” pesan Tokti di akhir perbualan.
#Siti Nurhaliza #Pakaian sukan #Sukan berbasikal