“Boleh Nampak Saya Cakap Pun Macam Alien, InsyaAllah Dengan Terapi….” - Hidap Bell’s Palsy, Adibah Noor Kini Jalani Rawatan
24/12/2020 06:26 MYT
Penyanyi dan pelakon, Adibah Noor meluahkan rasa terharunya apabila ramai yang mendoakan kesembuhannya selepas dia disahkan menghidap masalah saraf Bell's Palsy yang melibatkan bahagian wajah sebelah kirinya.
Luahan itu dibuat menerusi satu posting terbaru di Twitternya.
Menurut Adibah, orang ramai boleh melihat keadaannya mulutnya yang sedikit senget.
“Boleh nampak saya cakap pun dah macam alien. Gigi dekat sini mulut dekat sana.
“Insya-Allah dengan terapi, fisioterapi lagi saya dapat pulih sepenuhnya,” katanya sambil berseloroh.
Tambahnya, dia juga terharu apabila ‘dihujani’ pelbagai kata-kata semangat termasuk tips untuk pulih daripada penyakit tersebut.
“Saya ucap terima kasih setinggi penghargaan kepada keluarga, sabahat, rakan media sosial yang mencurahkan kasih sayang anda doa kepada saya, kesembuhan saya.
“Malah ramai juga yang kongsi tips rawatan. Saya rasa sangat terharu dengan kasih sayang anda curahkan,” katanya.
Terdahulu Adibah berkongsi tentang kesihatannya yang sedang menjalani rawatan Bell's Palsy di akaun Instagram miliknya.
Perkongsian itu mendapat perhatian daripada ramai pengikut yang mendoakan kesembuhan segera buat Adibah.
Difahamkan, Adibah perlu menjalani 12 sesi rawatan setakat ini.