Gaya Hidup
Boleh Ziarah Kubur, Tapi Tak Digalakkan
Aktiviti ziarah kubur pada Hari Raya dibenarkan tetapi orang ramai dinasihatkan untuk mengelak melakukannya sebagai langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Memetik laporan BH Online, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri berkata setakat ini perkara itu adalah nasihat, bukan larangan seperti yang disampaikan Ketua Pengarah Kesihatan, semalam.
"Perkara itu tidak dibincangkan hari ini dan kita percaya dalam hal ini terletak kepada disiplin diri dan kawalan kendiri. Buat masa ini tidak perlulah kita bergantung kepada peraturan dan SOP saja, kawalan kendiri itu lebih penting.
"COVID-19 ini akan terus berada di sekitar kita, mungkin dalam dua tahun atau lebih. Mungkin kita tidak boleh laksanakan PKPB ini hingga dua tahun, jadi tanpa undang-undang ini pun, rakyat boleh mengawal penyebaran wabak dengan mengamalkan kawalan kendiri.
"Kerajaan kini sudah banyak memberikan kelonggaran. Ziarah kubur ini masih dalam peringkat kita nasihatkan jangan lakukan bukan peraturan," katanya lagi.
Terdahulu, beberapa negeri seperti Selangor, Perak, Perlis dan Johor telah melarang sebarang aktiviti ziarah ke tanah perkuburan Aidilfitri ini bagi mengelak penularan wabak COVID-19.
Sumber: BH Online