VIRAL

Borong Perabot RM129,000, Prince Syed Sumbang Set Lengkap Untuk 30 Rumah Golongan Kurang Mampu - "Asalnya Nak Bagi 10 Dulu Tapi ..."

Amri Hassan 03/08/2025 | 04:50 MYT
Usahawan dan figura media sosial, Prince Syed, sekali lagi menarik perhatian netizen apabila berkongsi momen istimewa menyumbangkan set perabot penuh untuk 30 buah rumah kepada keluarga yang memerlukan.

Dalam hantaran di media sosialnya, Prince Syed mendedahkan telah membelanjakan sekitar RM129,000 di RBL Perabot Gemilang Ulu Tiram untuk membekalkan set lengkap perabot rumah kepada 30 keluarga.

“Shopping perabot RM129K saja, untuk bagi pada orang yang memerlukan. Asalnya nak beli untuk 10 rumah je, tapi bila sampai RBL Perabot Gemilang Ulu Tiram, terkejut tengok harga. Murah gila. Terus borong 30 set kelengkapan full house untuk 30 rumah keluarga kurang berkemampuan,” tulisnya.
undefined
Menurut Prince Syed, setiap rumah akan menerima kelengkapan ‘full house’ bernilai RM3,990 yang terdiri daripada katil, tilam, almari, sofa, rak televisyen dan set meja makan.

Katanya, semua penerima bantuan telah dikenalpasti melalui mesej-mesej yang diterima menerusi media sosial, sebelum pasukannya turun padang bagi menilai sendiri keadaan rumah mereka.

“Sepatutnya nak bagi 10 dulu bulan ni, 10 lagi bulan depan. Tapi sebab harga terlalu berbaloi, terus bagi semua sekali harung. Rezeki mereka, Alhamdulillah. Rezeki dari Allah. Bulan depan, kita datang lagi untuk bantu rumah-rumah lain pula," tambahnya.

Dalam perkongsiannya lagi, Prince Syed turut meluahkan rasa kagum terhadap pemilik RBL Perabot Gemilang yang menawarkan harga luar jangka untuk set kelengkapan lengkap rumah.

“Sumpah tak sangka macam mana owner boleh jual full set perabot rumah dengan harga RM3,990 je. Ada untung ke tu? Hebat sungguh.

"Untuk korang yang baru kahwin atau tengah berjimat, boleh sangat beli set ni. Kat luar, full house perabot boleh cecah RM50K tau. Tapi kat sini RM3,990 je. Ya Allah, murah sangat," ujarnya.

#Viral #Keluarga #Perabot #Prince Syed #borong #Ulu Tiram