Sebuah permainan yang diasaskan daripada plot drama melayu jam 7 petang telah dicipta untuk penggemar permainan papan.

Permainan yang dipanggil kad ‘Drama Pukul 7’ ini merupakan cetusan idea dua orang sahabat, Hairey dan Zamri.

Kad ‘Drama Pukul 7’ memerlukan antara 3 hingga 6 orang pemain yang aktif di mana mereka bakal berperanan sebagai watak hero atau heroin dalam siri drama Melayu.

Matlamat permainan kad ini adalah untuk mengalahkan pemain-pemain lain sekaligus menjadi Karakter Utama tunggal 'drama’ tersebut.

Bagaimana cara bermain kad Drama Pukul 7 ini?

Setiap pemain akan mendapat sekeping kad karakter masing-masing yang mana setiap karakter ini akan disertakan sekali dengan kad Air Muka.

Kad Air Muka ini umpama 'nyawa’ dimana sekiranya pemain itu diserang pemain lain, Air Muka karakter itu akan turun dari nilai tujuh hingga ke nilai sifar.

Apabila Air Muka tinggal sifar, pemain itu kalah dan karakter yang dipegangnya sudah tiada.

Terdapat dua ‘deck’ berwarna biru dan hijau dalam permainan ini. Dek biru akan memaparkan jenis-jenis episod dalam 'drama' tersebut.

Dalam dek biru, turut terdapat beberapa keping kad plot twist yang boleh mengubah jalan cerita episod 'drama' berkenaan.

Hebat bukan? Permainan ini pasti menarik buat semua penggemar drama melayu.

Inilah masanya anda bertindak sebagai pengarah dan mencipta jalan cerita serta pengakhiran tersendiri!