Umum mengetahui drama Hati Yang Dikhianati (HYD) ditunda siarannya ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, (PKP 3.0).

Justeru, bintang drama berkenaan, Isyariana mengajak para penonton bersatu-padu mengikut perintah kerajaan untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

"Kepada semua peminat dan penonton HYD, saya harap agar semua kita bersatu-padu mengikuti perintah kerajaan semasa PKP 3.0 ini.

"Duduklah di rumah, jom kita sama-sama putuskan rangkaian wabak berbahaya ini," katanya.

Dalam pada itu, Isyariana menyarankan beberapa aktiviti yang boleh dilakukan di rumah untuk kekal berfikiran positif.

"Banyak aktiviti yang kita boleh lakukan di rumah untuk menjadi positif, kita boleh masak atau cuba menu yang kita tak pernah buat.

"Selain itu, kita juga boleh mencabar diri untuk menghafal atau lakukan sesuatu yang membantu kita berfikir, kita juga boleh menonton filem atau drama yang terlepas.

"Bagi yang tidak tinggal bersama keluarga, kalau rasa nak bercakap dengan mereka mahupun rakan-rakan rapat, kita boleh telefon mereka.

"Apa yang penting, jom kekal bersikap positif dan perangi COVID-19 bersama dengan duduk di rumah, lockdown diri kita sendiri!" katanya lagi.

Terdahulu, pihak Astro Prima mengambil keputusan menghentikan seketika sebarang aktiviti penggambaran drama yang ditayangkan menerusi slot Tiara itu.

Keputusan tersebut dibuat susulan pelaksanaan PKP 3.0 melibatkan sekatan pergerakan pada skala penuh bagi sektor sosial dan ekonomi yang dikeluarkan oleh kerajaan atas faktor keselamatan.